Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente kekal tenang dan tidak mudah gelabah walaupun tanpa kehadiran ayam tambatannya Dion Cools pada perlawanan persahabatan menentang New Zealand dan kelab utama tempatan.
Jurulatih berasal dari Sepanyol itu berkata, beliau memiliki ‘koleksi’ pemain berkualiti dan terbaik sekali gus mampu menggalas cabaran yang ditinggalkan Cools kelak.
Beliau berkata, beberapa nama dilihat mampu memikul tanggungjawab sebagai kapten pasukan sekali gus menafikan bahawa kehilangan pemain pertahanan itu akan merencatkan permainan skuad Harimau Malaya.
“Saya berpendapat Cools adalah pemain yang bagus untuk pasukan. Oleh itu, kami berharap dia akan dapat menyertai pasukan kelak.
“Sudah pastinya semua pemain adalah penting tapi saya percaya kita adalah pasukan yang hebat.
“Jika ada pemain hilang sudah pastinya kita mempunyai tonggak lain yang mampu menggalas cabaran sebagai kapten. Matthiew Davies boleh menjadi kapten dan Syamer Kutty juga dilihat mampu galas tanggungjawab itu,” katanya, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke New Zealand, sebentar tadi.
Sebelum itu, Vicente mengesahkan pasukan akan berlepas dengan hanya 26 pemain apabila Cools terpaksa menarik diri kerana urusan keluarga.
Malah, pada masa sama, skuad Harimau Malaya terpaksa menentang pasukan kelab utama di New Zealand pada Jumaat ini selepas gagal mendapatkan pasukan kebangsaan negara lain untuk aksi persahabatan.
Perkembangan itu skuad Harimau Malaya hanya akan mengharungi satu aksi antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand di Auckland, 14 Oktober ini dalam kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dari 7 hingga 15 Oktober.
Vicente memaklumkan bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) cuba mendapatkan perlawanan dengan lapan pasukan Oceania termasuk Kepulauan Solomon, Fiji, Tahiti, New Caledonia, Vanuatu dan Papua New Guinea.
sumber:- HM
Bagaimanapun, beliau berkata pasukan terbabit mempunyai komitmen untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 masing-masing pada 10, 11 dan 12 Oktober.