sukan

Skuad remaja Malaysia, China berentap rebut tiket final

Skuad remaja negara menepati ramalan apabila melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024 di Nanchang, China, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas barisan pemain muda negara mengatasi Denmark 110-85 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Pusat Sukan Antarabangsa Nanchang.

Ketua jurulatih skuad remaja negara, Jeffer Rosobin memuji aksi ditampilkan anak buahnya yang mempamerkan semangat berpasukan tinggi bagi melakar kemenangan.

“Prestasi pemain semuanya baik, mereka menunjukkan aksi yang konsisten dalam setiap perlawanan.”Paling penting mereka menunjukkan semangat berpasukan dan keazaman yang tinggi untuk menang,” kata Rosobin kepada BH Sukan.

Malaysia dijangka berdepan ujian getir esok apabila dijadual menentang juara bertahan, China dalam perebutan tiket ke pentas final.

China mara ke separuh akhir selepas menundukkan Taiwan 110-74.Pada edisi tahun lalu di Washington, Amerika Syarikat, skuad negara tewas 0-3 di tangan China di peringkat separuh akhir sekali gus terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

“Walaupun sukar, saya percaya pemain akan berjuang habis-habisan esok menentang China. Peluang tetap ada dan saya harap kita mampu menghasilkan keputusan yang terbaik,” kata Rosobin.

Sebagai rekod, kali terakhir pasukan remaja negara merangkul gelaran dunia dalam acara berpasukan adalah pada 2011 di Taiwan.

Satu lagi aksi separuh akhir esok bakal menyaksikan pertemuan antara Indonesia menentang Jepun.

Jepun mara selepas menewaskan Amerika Syarikat 110-88 manakala Indonesia mengatasi India 110-92.

Kejohanan Remaja Dunia kali ini dimainkan dengan format baharu 10 perlawanan membabitkan dua pemain masing-masing dalam kategori perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

sumber:- BH

Setiap perlawanan hanya akan bermain sehingga 11 mata dan pasukan pertama yang mencapai 110 mata akan dinobatkan sebagai pemenang.