sukan

Saya belum selamat – Zii Jia

Pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia mengakui kedudukannya masih belum selamat dalam misi memburu tiket ke saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, Disember depan.

Ketika ini, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu berada di kedudukan keenam ranking Jelajah Dunia dengan 64,860 mata.

Dia dicabar sengit pemain Hong Kong, Ng Ka Long di kedudukan ketujuh (62,850 mata) dan Lee Chia Hao dari Taiwan kelapan (62,180 mata).

Hanya lapan pemain teratas ranking Jelajah Dunia layak ke kejohanan akhir musim itu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2.5 juta (RM10.54 juta).

Zii Jia berkata dia kini tidak mempunyai pilihan selain beraksi dalam seberapa banyak kejohanan yang boleh dan konsisten menghasilkan keputusan positif dalam kejohanan disertainya.

Katanya, dia akan beraksi kedua-dua kejohanan di Eropah bermula Terbuka Artik di Finland dari 8 hingga 13 Oktober dan Terbuka Denmark dari 15 hingga 20 Oktober.

Zii Jia tampil sebagai juara bertahan di Terbuka Artik selepas menjuarainya, tahun lalu dan muncul naib juara Terbuka Denmark.

“Kalau tengok sekarang ranking saya untuk Jelajah Dunia saya di kedudukan keenam. Selagi keadaan saya ok dan boleh beraksi di kejohanan, saya akan main.

“Saya mahu layak ke Jelajah Dunia Akhir. Saya harap boleh mengulangi pencapaian tahun lalu di Finland dan begitu juga di Denmark.

“Ia penting untuk kekalkan kedudukan ranking saya,” kata Zii Jia.

Dalam pada itu, Zii Jia memberitahu yang keadaan fizikalnya dan tahap kecergasannya semakin berbanding ketika dia tewas di pusingan pertama Terbuka Jepun dan Terbuka China, bulan lalu.

Terdahulu, pemain nombor lima dunia menerima insentif daripada syarikat isotonik 100PLUS susulan kejayaannya merangkul gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024 di sini, hari ini.

Zii Jia menerima insentif sebanyak RM100,000 daripada 100PLUS menerusi pencapaiannya di Paris.

Pemain nombor lima dunia itu yang juga duta 100PLUS sejak usia 19 tahun berkata dia sangat berterima kasih kepada jenama itu yang kekal memberikan sokongan kepada dirinya biarpun selepas dia meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2022.

sumber:- BH

Sebelum ini, Zii Jia turut menerima RM100,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) selain sebuah kereta utiliti sukan (SUV) model dari Chery Malaysia.