sukan

Arif Aiman terus diberi kepercayaan

Bintang sensasi bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi terus diberi kepercayaan mengemudi jentera hadapan skuad Harimau Malaya apabila namanya disenaraikan untuk aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand pada 14 Oktober ini.

Arif Aiman yang kini dalam prestasi terbaik akan terus dipertaruhkan oleh pengendali negara, Pau Marti Vicente untuk berdepan pasukan di ranking 95 dunia itu.

Ketajaman pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak dapat disangkal lagi apabila dia kini muncul antara peledak berbisa dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menerusi tiga gol yang diraihnya dalam dua aksi dilalui setakat ini.

Berdasarkan situasi semasa, skuad Harimau Malaya yang menghuni tangga 132 dunia pastinya mahu memburu keputusan positif apabila bertemu New Zealand yang dijadual berlangsung di Stadium North Harbour, Auckland nanti.

Selain Arif Aiman yang di bawa, Vicente turut mengekalkan ketua pasukan, Dion Cools serta sebahagian besar tonggak yang menjuarai Pestabola Merdeka pada bulan lalu.

Begitupun, dalam senarai 27 nama yang dipanggil kali ini, Vicente membuat sedikit rombakan berani apabila menyenaraikan dua pemain bawah 19 (B-19) tahun negara iaitu penjaga gol, Haziq Aiman Mohd Esa dan Haykal Danish Mohd Haizon, di mana kedua-duanya baru pulang daripada Kelayakan Piala Asia B-20 di Tajikistan.

Selain itu, pengendali negara dari Sepanyol itu turut menyenaraikan penjaga gol Selangor FC, Azim Al Amin Kamaruddin yang beraksi cukup cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) serta ACL II ketika ini.

Pasukan negara akan berangkat terus ke Auckland pada Ahad ini dan akan menjalani kem latihan pusat di sana selama seminggu, sebelum pulang ke tanahair pada hari berikutnya.

sumber:- HM

Keputusan positif menjadi buruan skuad negara bagi mengumpul lebih banyak mata ranking agar membolehkan Malaysia berada di kedudukan terbaik menjelang undian pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan dilakukan hujung tahun ini.