Jodoh jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner bersama Terengganu FC (TFC) akhirnya terlerai selepas beliau melepaskan jawatan itu, hari ini.
Kelab itu dalam kenyataan memaklumkan penamatan kontrak jurulatih berusia 58 tahun itu adalah atas persetujuan bersama.
Turut mengikut jejak bekas Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd musim 2022 itu adalah penolong jurulatih, Ivica Vranjes dan jurulatih kecergasan, Hrvoje Bradasic.
“Pihak pengurusan TFC mengadakan perbincangan bersama Steinbruckner, hasil perbincangan itu, keputusan dicapai atas persetujuan bersama mengenai penamatan kontrak beliau sebagai pengendali TFC pada musim 2024/2025.
“Turut ditamatkan kontrak dua staf kejurulatihan kelahiran Croatia, Vranjes dan Bradasic yang bersama Steinbruckner sebelum ini.
“Langkah berkenaan terpaksa diambil dan diputuskan bersama berdasarkan prestasi semasa pasukan serta dalam usaha kelab untuk memelihara keadaan dan perhubungan antara pemain, penyokong dan imej kelab secara keseluruhannya.
“Bagaimanapun perbincangan akhir berkenaan terma penamatan kontrak itu masih lagi dalam perbincangan antara kedua-dua belah pihak,” kata TFC dalam kenyataan itu, hari ini.
Mengulas lanjut, pihak pengurusan TFC menjelaskan tugas ketua jurulatih akan diambil alih oleh penolong jurulatih kelahiran Terengganu, Badrul Afzan Razali.
“Bermula hari ini, tugas untuk mengendalikan pasukan utama ini akan digalas penolong ketua Jurulatih, Badrul Afzan dan dibantu ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Hairuddin Omar buat sementara waktu,” katanya.
sumber:- BH
Terdahulu, peminat skuad Penyu mendesak pihak pengurusan TFC merehatkan atau menamatkan kontrak Steinbruckner selepas prestasi pasukan merudum termasuk yang terbaharu tewas 0-1 kepada Selangor FC, Sabtu lalu.