sukan

Komen Ten Hag selepas United jadi lauk Tottenham

Prestasi buruk Manchester United ketika tewas 0-3 di tangan Tottenham Hotspur awal pagi tadi kembali meletakkan Erik ten Hag dalam kerusi panas tetapi tetap yakin kedudukannya masih selamat.

Perlawanan di Old Trafford baru memasuki minit ketiga menyaksikan pertahanan United mudah dibolosi Micky van de Ven yang kemudiannya disudahkan Brennan Johnson untuk gol pertama Spurs.

Namun, Ten Hag yang jawatannya dalam ‘bahaya’ pada musim lalu menegaskan dia tidak bimbang dengan nasibnya di kelab itu.

“Tidak, saya tidak fikir mengenai itu,” katanya kepada wartawan. “Kami bersama membuat keputusan, sebagai pemilik, sebagai pemimpin dalam kumpulan. Kami turut tahu, ia memerlukan masa.

“Saya rasa kami akan bertambah baik dan bersatu dalam satu kumpulan. Pemain dan juga staf, jadi saya tak risau tentang itu.”

Kekalahan United itu yang mencipta rekod terburuk apabila menduduki tempat kelapan musim lalu, kini terperosok di tangga ke-12 selepas enam perlawanan.

Ia kekalahan kedua berturut-turut dengan keputusan 0-3 di tempat sendiri selepas tewas di tangan Liverpool pada 1 September sekali gus mencetuskan kemarahan penyokong mereka sebelum tiupan wisel terakhir.

Bekas pertahanan United yang kini menjadi pengulas sukan, Gary Neville menganggapnya prestasi menjengkelkan.

Bekas pemain tengah Tottenham Jamie Redknapp pula berkata kepada Sky Sports: “United tampak lembik, tiada keyakinan, tiada identiti dan mereka beraksi seperti bermain di tempat lawan.

“Ten Hag perlu berbuat sesuatu. Dia seperti kehilangan idea dan bergelut untuk memotivasikan pemain.”

Dejan Kulusevski dan Dominic Solanke turut menjaringkan gol untuk Spurs manakala kapten United Bruno Fernandes dibuang padang minit ke-42 selepas mengasari James Maddison.

Ten Hag pastinya kecewa apabila gol awal Johnson hampir sama dilepaskan United ketika seri 1-1 dengan Twente dalam aksi Liga Europa minggu lalu.

sumber:- HM

“Kami sangat kecewa apabila melihat ia berlaku sekali lagi, jaringan seperti ini,” kata pengendali dari Belanda itu. “Ia tidak sepatutnya berlaku terutama selepas anda mendapat arahan bagaimana menangani situasi itu.”