sukan

Keputusan aksi Malaysia B-20 berdepan Tajikistan

Peluang skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara untuk menempah slot ke Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20) 2025 boleh dianggap tertutup selepas tumbang 1-0 di tangan Tajikistan pada aksi ketiga Kumpulan E di Stadium Republican Central, sebentar tadi.

Jaringan di hujung babak kedua Khushkatov Dzhovidon membolehkan Tajikistan menghuni tangga kedua dengan enam mata di belakang Korea Utara yang sudahpun mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan E dengan 10 mata.

Meskipun boleh mengesahkan kedudukan selaku naib juara Kumpulan E jika menewaskan Sri Lanka sambil mengharapkan Oman menewaskan Tajikistan pada aksi terakhir, namun itu tidak cukup untuk Malaysia mara selaku lima naib juara terbaik.

Ini kerana kemenangan ke atas Sri Lanka tidak akan dikira dalam penentuan lima naib juara terbaik dan itu meninggalkan Malaysia dengan peluang sukar apabila hanya mengutip empat mata.

Pada aksi terbabit, skuad negara menghantar amaran seawal minit kelima menerusi percubaan Mohd Zamirul Mohamad Khair yang ditepis Makhmudzoda Shakhobiddin sebelum percubaan Moses Raj ditangkap Makhmudzoda pada minit ke-15.

Malaysia sekali lagi mendapat peluang untuk membuka jaringan namun Makhmudzoda sekali lagi cemerlang menafikan sepakan percuma Mohamad Haykal Danish Mohd Haizon pada minit ke-21.

Penjaga gol negara, Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa diuji pada minit ke-24 apabila menyelamatkan percubaan Sulaymonov Abu Bakr yang menyambut hantaran Khushvaktov Dzhovidon daripada sebelah sayap kanan Tajikistan.

Peluang terbaik Tajikistan hadir pada minit ke-30 menerusi tandukan Gafurov Masrur ketika Muhammad Haziq sudahpun tertewas namun tandukan Gafurov dihalang Ariff Safwan Safri dan kedudukan 0-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Gawang Malaysia terselamat pada minit ke-56 menerusi ketangkasan Muhammad Haziq yang menepis percubaan jarak dekat Khujaev Bekhruz sebelum Makhmudzoda menangkap percubaan Muhamad Faris Danish Mohd Asrul empat minit berselang.

Zamirul terlepas peluang keemasan untuk meletakkan Malaysia mendahului pada minit ke-65 selepas tampanannya yang betul betul berada di hadapan Makhmudzoda tepat menuju ke dakapan penjaga gol Tajikistan itu.

sumber:- BH

Ketika perlawanan seakan berakhir tanpa jaringan, percubaan menarik Khushkatov menewaskan Muhammad Haziq dan membolehkan tuan rumah meraih tiga mata.