Jaringan tunggal Brendan Gan pada babak kedua membolehkan Kuala Lumpur City FC (KL City) merakam kemenangan kedua dalam Kumpulan B Kejuaraan Kelab Asean (ACC) pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
KL City selaku tuan rumah membenam wakil Indonesia, Borneo FC Samarinda, 1-0 untuk mengumpul enam mata daripada dua perlawanan.
Sebaliknya, ia kekalahan pertama buat anak buah Pietar Huistra selepas menjinakkan kelab Singapura, Lion City Sailors 3-0 pada aksi pertama.
Dalam perlawanan itu, KL City yang menang 1-0 ke atas kelab Filipina, Kaya Iloilo sebelum ini menguasai aksi babak pertama dengan beberapa gerakan merbahaya ke kubu pelawat.
Bagaimanapun Borneo FC Samarinda kental bertahan untuk menamatkan 45 minit babak pertama tanpa sebarang jaringan.Bersambung separuh masa kedua, lawan yang menghuni tangga kedua Liga 1 Indonesia ketika ini tampil lebih tersusun untuk menguasai penuh aksi dengan anak buah Miroslav Kuljanac lebih banyak bertahan.
Selepas beberapa percubaan, akhirnya gol yang dicari menjelma pada minit ke-77 menerusi Brendan yang menerima lorongan Zhafri Yahya selepas berjaya mengatasi dua pertahanan lawan.
sumber:- HM
Gol tunggal itu bertahan hingga wisel penamat, sekali gus membolehkan naib juara Piala AFC 2022 itu mengekalkan rekod bersih kempen ACC ini.