sukan

FAM pasti ambil pemain ‘gred A’

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu tergopoh-gapah ‘meminang’ pemain kacukan yang beraksi di luar negara dalam tempoh terdekat ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan bahawa pihaknya mengetahui terdapat sekurang-kurangnya lima pemain berdarah campuran dilaporkan oleh pihak tertentu untuk diambil perhatian oleh FAM.

Beliau berkata, setakat ini FAM mengambil sikap memantau perkembangan pemain terbabit dan akan melakukan perbincangan bersama barisan kejurulatihan dan kepimpinan badan induk bola sepak negara itu sebelum mengambil langkah susulan dengan ‘menjemput’ individu itu beraksi untuk Malaysia.

“Kita hanyalah memantau perkembangan pemain kacukan yang beraksi di luar negara namun tidaklah menghubungi mereka untuk terus menawarkan bermain untuk Malaysia.

“Mungkin pada masa akan datang ada penambahan pemain kacukan di luar negara. Namun, segala-galanya bergantung kepada keputusan barisan kejurulatihan dan kepimpinan FAM.

“Jika pemain terbabit ‘gred A’ dan mampu membantu skuad Harimau Malaya sudah pastinya kita akan mengambilnya demi mempertingkatkan lagi prestasi pasukan kebangsaan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sejak kebelakangan ini terdapat beberapa nama pemain berdarah campuran muncul antaranya bekas tonggak Luton Town, Elliot Thorpe dan pemain Belanda-Malaysia, Sem Scheperman.

Mengikut rekod, Presiden FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebelum ini mengesahkan tonggak pertahanan kelahiran Belanda, Mats Deijl telah menghubungi ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente dengan menyatakan minat untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Deijl yang lahir di Vlaardingen beraksi di posisi bek kanan bersama kelab Liga Eredivisie, Go Ahead Eagles sejak tahun 2021.

sumber:- HM

Malah, wakil FAM sebelum ini turut menghubungi penyerang kelahiran Belanda, Ferdy Druijf yang dicanang memiliki darah keturunan Malaysia dari ibunya.