sukan

Komen Shevon selepas aksi Final Super 1000 di Terbuka China

Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mengakui perasaan mereka bercampur baur apabila terlepas peluang untuk merangkul gelaran pertama kejohanan Super 1000 di Terbuka China, hari ini.

Pasangan suami isteri itu terpaksa akur apabila tewas dalam pertarungan tiga set di tangan wakil tuan rumah yang juga pilihan kedua, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 21-16, 14-21, 17-21 pada aksi final di Pusat Sukan Olimpik Changzhou.

Bagi Shevon, meskipun tewas tetapi mereka tetap berpuas hati dengan pencapaian mereka mara ke final kejohanan bertaraf Super 1000 itu.

Katanya, banyak pengajaran yang boleh mereka jadikan iktibar, terutama sekali semangat tidak pernah berputus asa.”Perasaan saya bercampur baur tetapi saya sangat berpuas hati dengan perlawanan hari ini. Walaupun tewas, kami sudah berikan yang terbaik.

“Soon Huat sangat bekerja keras berlari di setiap gelanggang. Walaupun kami dapat memenangi set pertama yang mana ia memberi sedikit keyakinan, tetapi lawan berjaya bangkit di set kedua dan di set ketiga pula kami ketinggalan agak jauh.

“Satu perkara yang sangat positif ialah kami tidak pernah berputus asa. Meskipun adalah sedikit salah faham, kami masih dapat membantu antara satu sama lain,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, Soon Huat, berkata pencapaian yang dilakar dalam kejohanan kali ini akan dijadikan motivasi dalam usaha mereka memburu tiket ke saingan Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, Disember depan.

Hanya lapan pemain dan beregu terbaik dalam ranking kejohanan Jelajah Dunia BWF layak beraksi di kejohanan akhir musim itu.

“Prestasi kami di sini membuka peluang untuk kami layak ke Jelajah Dunia Akhir. Jadi, kami akan terus menyertai kejohanan seterusnya dan fokus terhadap misi untuk layak ke akhir musim itu,” kata Soon Huat.

Kekalahan meleburkan impian Soon Huat-Shevon untuk muncul beregu campuran pertama Malaysia menjuarai kejohanan bertaraf Super 1000 itu sejak ia diperkenalkan pada 1986.

Mereka mengulangi pencapaian terbaik beregu campuran negara sebelum ini menerusi gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang turut muncul naib juara pada edisi 2012.

sumber:- BH

Selaku naib juara, Soon Huat-Shevon berpuas hati dengan hadiah wang tunai AS$70,000 (RM294,360) berserta trofi manakala Yan Zhe-Dong Ping meraih AS$148,000 (RM622,361) dan juga trofi.