sukan

Kedah dibelasah teruk

KEDAH Darul Aman (KDA) FC yang terpaksa menurunkan skuad bawah 23 tahun (B-23) untuk beraksi menentang Kuala Lumpur City (KL City) dalam aksi Liga Super terpaksa menelan keperitan apabila dibelasah 5-0 pada Sabtu.

Sebelum ini, kesemua pemain utama pasukan dari utara itu telah memboikot sesi latihan dan perlawanan selepas kelab gagal melunaskan gaji didakwa sejak awal tahun ini.

KDA FC yang hadir ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dengan dibarisi pemain B-23 dalam kesebelasan utama termasuk di bangku simpanan terpaksa akur dengan permainan agresif tuan rumah sepanjang perlawanan.

Namun, pujian tetap perlu diberikan kepada pemain muda KDA FC yang memberikan aksi terbaik walaupun mereka baharu pertama kali beraksi di pentas kompetitif Liga Super.

Dalam perlawanan tersebut, KL City membuka tirai jaringan menerusi Jovan Motika pada minit ke-14 yang menyambut hantaran Zhafri Yahya sebelum gol sendiri pemain KDA, Hazrie Balqief Zulhadi sembilan minit kemudian meletakkan tuan rumah dua gol dihadapan.

Zhafri turut mencetak nama selaku penjaring melalui sepakan percuma yang gagal diselamatkan oleh Muhammad Hafizy Mohd Hajazy pada minit ke-26.

Bersambung separuh masa kedua, KL City tidak menunggu lama apabila menambah jaringan menerusi Paulo Josue pada minit ke-48 sebelum dia sekali lagi meledak pada minit ke-57.

sumber:- SH

Keputusan itu menyaksikan KDA jatuh ke kedudukan ke-10 liga dengan hanya lapan mata selepas sembilan perlawanan manakala KL City pula berada di kedudukan kesembilan.