sukan

Bonilla belum pasti buat penampilan pertama bersama TFC

Penyerang baharu Terengganu FC (TFC), Nelson Bonilla belum pasti akan membuat penampilan pertama menentang Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.

Ini kerana penyerang kelahiran El Salvador itu mengalami kecederaan otot ketika membantu pasukan kebangsaan negaranya pada minggu lalu.

Ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner berkata, selain penyerang baharu itu, pertahanan tengah, Shahrul Nizam Ros Hasni juga akan diketepikan akibat kecederaan ketika sesi latihan.

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Croatia itu tidak begitu bimbang kerana beberapa pemain lain boleh mengambil posisi yang ditinggalkan oleh dua pemain berkenaan.

“Penyerang baharu itu (Bonilla) berkemungkinan besar terpaksa diketepikan akibat kecederaan otot ketika membantu pasukan negaranya baru-baru ini.

“Bagaimanapun kapten skuad El Salvador itu yang baharu disenaraikan pada jendela kedua perpindahan pemain tetap bersama kami ke Sabah, tapi sama ada dia beraksi ataupun tidak kita belum pasti kerana perlu dinilai tahap kecederaannya.

“Namun Shahrul Nizam pasti tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan paha ketika sesi latihan, tapi kita tidak runsing kerana beberapa pemain lain boleh menggantikan tempat dua pemain itu,” ujarnya ketika dihubungi.

Ketika ditanya adakah skuadnya tidak mengalami kesukaran untuk mengutip tiga mata penuh selepas dua perlawanan terdahulu dalam aksi suku akhir Piala FA musim ini memihak kepada TFC dengan agregat besar 7-0, Steinbruckner enggan mendabik dada.

sumber:- HM

“Biarpun dua pertemuan sebelum ini memihak kepada kami, tapi perlawanan Ahad ini sudah tentu berbeza, tambahan pula mereka ada penyerang baharu, jadi saya ingatkan pemain agar berwaspada,” katanya.