Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio berpuas hati dengan kualiti permainan yang ditampilkan empat tonggak import baharu pada debut menentang Penang FC yang menyaksikan mereka menang 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Malah katanya, kehadiran beberapa pemain baharu yang di bawa pada jendela perpindahan kedua sejak 26 Ogos lalu menjadikan pasukan JDT bertambah lebih baik dan ia akan beri impak positif bagi mengharungi kancah liga dan juga saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
“Jorge (Obregon) membuktikan kewibawaannya selaku penyerang selepas meledak dua gol dalam perlawanan itu malah dia sering beri tekanan terhadap benteng lawan yang terpaksa berhempas pulas mengekang kelicikannya.
“Barisan tengah yang diterajui Iker (Undabarrarena) dan Enzo (Lombardo) menjadi tunjang utama untuk menjana serangan dan mereka membentuk persefahaman yang baik selain kelibat Eddy (Israfilov) yang beraksi tenang di posisi pertahanan.
“Kami mengamal corak permainan yang pantas dan sering beri tekanan terhadap benteng lawan malah menggerakkan bola di posisi sayap kiri dan kanan dan masih ada ruang lagi untuk pemain baharu mengenali lebih mendalam mengenai falsafah bola sepak JDT,” katanya.
Ditanya mengenai corak permainan Penang FC yang lebih gemar `berkampung’ di kawasan dan tidak bermain secara `terbuka’, pengendali kelahiran Argentina itu enggan berbicara mengenai pendekatan taktikal yang digunakan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang sekadar beraksi secara bertahan.
Sebaliknya, Bidoglio menganggap itu mungkin perancangan pasukan lawan yang menyebabkan sukar pemain JDT membuka ruang apabila mereka tertumpu di benteng pertahanan sendiri sekali gus merencatkan strategi untuk beraksi dengan lebih pantas.
“Walaupun tampak sukar tapi pemain JDT tahu untuk mengatasinya apabila berusaha memecah benteng ampuh lawan selepas pemain sayap kiri dan kanan iaitu Arif (Aiman Hanapi) dan Oscar (Arribas) beraksi dengan baik.
sumber:- HM
“Sebab itu kami ada banyak pilihan dan kerap beri tekanan terhadap benteng lawan malah saya berpuas hati secara keseluruhan pada perlawanan itu tapi akan tetap memperbaiki apa jua kelemahan supaya kami akan lebih bersedia mengharungi aksi seterusnya,” kata Bidoglio.