Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente sudah boleh melupakan kejayaan manis menjulang trofi Pestabola Merdeka 2024 dan perlu memulakan langkah mengumpul ‘senjata’ untuk menghadapi medan perang pada bulan depan dan November ini.
Pengendali dari Sepanyol itu dijangka akan mengharungi empat aksi persahabatan antabangsa termasuk dua pada bulan depan dan dua lagi pada November dalam tempoh kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Salah satu aksi kelas ‘A’ yang bakal diharungi Harimau Malaya adalah berdepan pasukan ranking 94 dunia, New Zealand yang mana aksi itu akan berlangsung di Stadium North Harbour, Auckland, 14 Oktober ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagaimanapun masih belum mengumumkan tiga lagi lawan Harimau Malaya dengan aksi itu penting untuk Vicente membentuk skuad lebih mantap.
Empat perlawanan itu akan menjadi pentas persiapan buat skuad negara menghadapi kejohanan Piala ASEAN 2024, Disember ini dan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027, Mac tahun depan.
Malah, perlawanan itu juga menjadi gelanggang buat Harimau Malaya memburu seberapa banyak mata dalam ranking FIFA bagi mengintai peluang berada dalam balang satu untuk undian pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.
Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin menjelaskan sasaran pihaknya adalah untuk Harimau Malaya kekal layak ke pusingan akhir Piala Asia seperti yang dilakukan pada edisi 2023.
“Aksi itu (Oktober dan November) adalah persiapan untuk Piala AFF (ASEAN) dan juga persiapan bagi (kelayakan Piala Asia 2027) pada Mac.
“Ia mustahak untuk fasa Pau Marti melihat pemain yang dipilih dan membentuk pasukan yang lebih baik dari sebelum ini,” katanya.
Vicente yang diberi tanggungjawab mengemudi Harimau Malaya selepas peletakan jawatan oleh Kim Pan Gon, 16 Julai lalu lulus dua ujian awal selepas berjaya mengatasi Filipina 2-1 dan Lubnan 1-0 dalam aksi persahabatan yang diadakah menerusi Pestabola Merdeka 2024.
Sebelum ini, laporan daripada media Russia menyebut bahawa terdapat kemungkinan skuad kebangsaan negara itu akan menentang Harimau Malaya.
Malah, terdapat juga ura-ura bahawa Harimau Malaya bakal menguji pasukan Arab seperti Syria yang berada di ranking 93 dunia selain pasukan dari Asia Tenggara.
sumber:- BH
Kalendar FIFA bagi aksi antarabangsa akan berlangsung pada 7 hingga 15 Oktober dan 11 hingga 19 November ini.