SKUAD hoki negara menjadi mangsa amukan juara bertahan, India setelah dibelasah 8-1 dalam Kejohanan Hoki Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, Inner Mongolia, China pada Rabu.
Kekalahan tersebut hampir menutup peluang buat skuad Speedy Tigers untuk mengintai slot sebagai empat pasukan terbaik liga sepusingan itu sekali gus menjadi pencapaian buruk berbanding edisi lalu beraksi di pentas final, namun tewas 3-4 kepada India.
Malaysia yang dibimbing Sarjit Singh sebelum ini terikat 2-2 dengan Pakistan dan tewas 2-4 kepada China untuk sekadar mengutip satu mata daripada tiga perlawanan.
India yang memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 di Paris bulan lalu meledak menerusi hatrik Rajkumar Pal dan dua jaringan Araijeet Singh Hundal.
Turut mencatat nama selaku penjaring buat India ialah Harmanpreet Singh, Jugraj Singh serta Huttam Singh, manakala gol sagu hati Malaysia pula disumbang oleh Akhimullah Anuar.
Dalam pada itu, Sarjit menyifatkan para pemain terlalu menghormati lawan dan hilang keyakinan diri pada awal permainan.“Kami bermula dengan kurang baik, melepaskan tiga gol mudah dalam masa yang singkat. Ia membuatkan moral pemain jatuh dan struktur bertahan juga tidak menjalankan tugas dengan baik,” katanya.
Beliau menambah, barisan pemain cuba bangkit tetapi ia tidak mencukupi kerana pasukan lawan beraksi lebih baik.“Prestasi pasukan yang mengecewakan dan bukan mudah berada dalam situasi seperti ini,” katanya.
Malaysia seterusnya dalam misi wajib menang ke atas Jepun pada Khamis dan aksi terakhir menentang Korea Selatan pada Sabtu.Bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan perlawanan lain dan jumlah jaringan.
Justeru Sarjit mahu barisan kejurulatihan dan pemain mengambil tanggungjawab bersama untuk bangkit menentang Jepun pada Khamis.
sumber:- SH
“Kami tiada cara lain kecuali perlu menang ke atas Jepun untuk membuka peluang layak ke separuh akhir. Tiada jalan mudah dan apa yang berlaku pada hari ini (Rabu) tidak boleh berulang esok (Khamis).“Misi wajib menang untuk pertemuan dengan Jepun,” katanya.