sukan

Indonesia sekali lakar kejutan besar di Kelayakan Piala Dunia

Indonesia mengekalkan rekod tanpa kalah dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas mengikat pasukan di ranking ke-24 dunia, Australia 0-0 pada aksi di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi.

Ini menyaksikan skuad ‘Garuda’ mengutip mata kedua mereka dalam Kumpulan C selepas mengutip mata pertama susulan kejayaan mengikat Arab Saudi 1-1 di tempat lawan, Jumaat lalu.

Australia juga mengutip mata pertama bagi kempen kali ini selepas mereka tewas 0-1 di tangan Bahrain pada aksi pertama, sebelum ini.

Pada aksi terbabit, Indonesia bermula garang apabila berjaya melakukan dua percubaan tepat menerusi Sandy Walsh namun Mathew Ryan menepis percubaan itu sebelum Ryan cemerlang menepis percubaan susulan Rafael Struick.

Penjaga gawang Indonesia, Maarten Paes cemerlang menafikan peluang Australia apabila menepis percubaan deras Harry Souttar pada minit ke-21 sebelum Souttar sekali lagi kecewa apabila tandukannya diselamatkan Paes tiga minit berselang.

Indonesia nyaris bolos pada minit ke-34 apabila Paes gagal menyelamatkan rembatan jarak jauh Nestory Irankunda dan bola terkena palang, mujurlah pertahanan Indonesia lebih pantas mengeluarkan bola dan kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, percubaan Marselino Ferdinan pada minit ke-57 gagal menepati sasaran sebelum sepakan percuma Craig Goodwin seminit berselang mudah ditangkap kemas Paes.

Australia terus mencipta peluang pada minit ke-77 apabila Awer Mabil yang tidak dikawal berjaya melakukan satu tandukan namun Indonesia terselamat selepas percubaan pemain itu tersasar.

sumber:- BH

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun jaringan yang dicari tidak menjelma sekali gus memaksa keputusan 0-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.