sukan

Terkejut dengan aksi Indonesia

Pengendali Arab Saudi, Roberto Mancini nyata kecewa dengan persembahan anak buahnya selepas diikat 1-1 dengan Indonesia pada aksi kelayakan Kumpulan C Piala Dunia 2026 zon Asia di Stadium Raja Abdullah, hari ini.

Bekas pengendali Itali dan kelab Manchester City itu merumuskan prestasi anak buahnya pada awal 30 minit perlawanan nyata tidak memuaskan selain banyak melepaskan peluang berharga di laman sendiri.

“Saya tidak berpuashati dengan prestasi pasukan pada 30 minit pertama. Dalam bola sepak, sekiranya kamu tidak mengambil peluang, kamu tidak akan menang,” kata Mancini.

“Kami mempunyai masalah untuk memanfaatkan peluang, buktinya boleh dilihat dalam beberapa perlawanan sebelum ini.”Dalam pada itu, pengendali Indonesia, Shin Tae-yong memuji barisan pemainnya yang menunjukkan semangat berpasukan jitu biar pun berdepan tentangan sengit pasukan lawan.

Indonesia yang menyertai pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia buat kali pertama, mendahului permainan menerusi jaringan Ragnar Oratmangoen sebelum Musab Al Juwayr menyamakan kedudukan.

“Perlawanan sangat sengit dari awal lagi dan cuaca panas turut mengganggu kedua-dua pasukan. Namun kami mempamerkan prestasi yang menarik dan saya berbangga dengan usaha pemain,” kata Tae-yong.

“Salah satu sebab kami meraih keputusan seri ini adalah kerana pembabitan keseluruhan ahli pasukan. Jentera serangan saya juga turun untuk bertahan dan secara keseluruhan, ia satu prestasi yang padu.

“Mancini adalah seorang jurulatih yang hebat dan dapat menyerap taktiknya ketika permainan tetapi saya mempunyai banyak pengalaman dengan kemampuan pemainnya dan yang beraksi di Liga Pro Saudi.

“Saya mempunyai tahap kepercayaan tinggi terhadap pasukan dan saya akan terus memberi motivasi kepada pemain untuk mencapai sasaran. Indonesia tidak seperti ini sebelum ini. Kami akan membawa banyak kejutan pada perlawanan seterusnya.”

sumber:- BH

Arab Saudi yang sedang memburu penampilan ketujuh di Piala Dunia dijadual bertemu China di Dalian pada Selasa ini manakala Indonesia melayan kunjungan Australia di Jakarta. – AGENSI