sukan

Komen tanpa berselindung pengendali Filipina penalti berdepan Malaysia

Ketua jurulatih Filipina, Norman Fegidero tetap gembira dengan persembahan anak buahnya meskipun tewas 1-2 kepada Malaysia dalam aksi Pestabola Merdeka 2024, sebentar tadi.

Malah, beliau menyifatkan pasukannya sepatutnya mendapat penalti pada babak pertama dan kedua serta mampu meraih kemenangan dalam aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Saya gembira dengan pemain saya keranan mereka memberi tentangan sengit hingga minit akhir, saya bangga dengan mereka.

“Perancangan kami untuk mendapatkan jaringan awal dan kami mendapat peluang terbaik pada minit pertama. Kami turut mendapat peluang selepas itu dan kami juga lihat sepatutnya penalti pada babak pertama dan kedua.

“Namun, keputusan pengadil adalah muktamad. Sekiranya ada penalti kami mungkin boleh menang 3-2,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Kekalahan kepada Malaysia menyaksikan impian Filipina untuk melangkah ke final Pestabola Merdeka 2024 dan menamatkan penantian 33 tahun gagal menewaskan Harimau Malaya tidak kesampaian.

Kali terakhir Filipina menewaskan Malaysia adalah pada Sukan SEA 1991 di Manila yang mana Fegidero muncul wira pasukannya apabila meledak jaringan tunggal perlawanan.

sumber:- BH

Filipina seterusnya akan menentang Tajikistan dalam aksi penentuan tempat ketiga Pestabola Merdeka 2024, Ahad ini.