sukan

Piala Merdeka : Kejutan besar, Juara bertahan tumbang

Juara bertahan, Tajikistan gagal mempertahankan gelaran Pestabola Merdeka apabila tewas tipis 1-0 di tangan Lubnan pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Jaringan tunggal Jihad Ayoub di awal babak pertama sudah cukup untuk Lubnan yang tampil buat kali pertama di Pestabola Merdeka 2024 mengejutkan juara bertahan tahun lalu itu.

Pada aksi terbabit, Tajikistan hampir membuka jaringan pada minit ketujuh namun pertahanan Lubnan, Khalil Khamis berjaya menyelamatkan percubaan lawan di atas garisan.

Lubnan berjaya memperolehi gol pembukaan pada minit ke-12 apabila sepakan sudut diambil Rabih Ataya ditanduk masuk Jihad Ayoub untuk meletakkan Lubnan 1-0 di depan.

Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan meneruskan asakan untuk memburu gol namun percubaan dilakukan tidak cukup untuk diterjemah kepada gol.Kedudukan 1-0 kekal berpihak untuk Lubnan sekali gus membolehkan skuad bimbingan Miodrag Radulovic mara ke final.

Satu lagi aksi akan berlangsung malam ini membabitkan Malaysia menentang Filipina pada jam 9 malam.

sumber:- BH

Pemenang aksi ini akan menentang Lubnan di final manakala pasukan yang tewas akan berdepan Tajikistan bagi penentuan tempat ketiga.