sukan

JDT dedah rahsia dalam bilik persalinan

Kata-kata semangat Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail kepada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi ‘azimat’ yang membawa kepada kejayaan Harimau Selatan menjulang Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

JDT menerusi laman media sosial mereka mendedahkan video di dalam bilik persalinan bagaimana Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik kelab itu melaungkan pesanan keramat kepada pemain Harimau Selatan sebelum aksi final menentang Selangor.

Menerusi video berdurasi satu minit itu, Tunku Mahkota Ismail dilihat bercakap dengan nada tegas dan penuh bersemangat yang mahukan skuad kendalian Hector Bidoglio pulang ke rumah dengan membawa trofi Piala FA.

“Ingat apa yang saya katakan semalam, hari ini bukan hari untuk kita pulang ke rumah dengan kepala kita ke bawah.”Kita perlu mengangkat kepala dengan pingat di dada. Trofi itu ada di luar, ia adalah Piala FA, dia menunggu kita, bawa dia pulang,” kata Tunku Mahkota Ismail.

JDT mengecapi satu lagi detik gemilang apabila menjulang Piala FA buat kali keempat dengan penuh bergaya selepas membelasah juara lima kali, Selangor 6-1 dihadapan 80,350 penonton yang membanjiri Stadium Nasional.

Kejayaan itu menyaksikan Harimau Selatan mencipta sejarah baharu apabila muncul pasukan pertama melakar hatrik menjulang Piala FA selepas memenanginya pada 2022 dan 2023.

sumber:- BH

Malah, skuad Harimau Selatan turut menetapkan rekod baharu sebagai pasukan yang meraih kemenangan terbesar di pentas final Piala FA sejak pertama kali dipertandingkan pada tahun 1990.