sukan

Komen Josue taktikal baharu Malaysia legakan semua

Corak permainan berintensiti tinggi dan penguasaan bola secara total akan terus diterapkan pemangku ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente sekali gus mengekalkan ‘DNA Malaysia’ seperti mana di bawa Kim Pan-gon sebelum ini.

Ia diluahkan tonggak naturalisasi negara, Paulo Josue yang mengakui tidak bimbang dengan peralihan tampuk kejurulatihan kebangsaan selepas Pan-gon mengumumkan peletakkan jawatannya bulan lalu.

Jelas Josue, semua pihak tidak perlu bimbang khususnya peminat kerana dia percaya Vicente mampu menggalas tugas terbabit dengan meneruskan legasi Pan-gon.

“Tidak ada apa yang perlu dibimbingkan kerana selama dua tahun ini, Vicente adalah penolong jurulatih kepada Pan-gon yang hubungan kedua-dua individu itu cukup rapat.

“Malah, Pan-gon juga sering mendapatkan pandangan dan idea daripada Vicente dalam menyusun strategi serta corak permainan yang diinginkan hingga membawa perubahan besar kepada skuad negara.

“Saya yakin Vicente akan meneruskan momentum sama dengan tidak banyak perubahan dalam permainan pasukan. Malah, mungkin akan ada penambahbaikan dilakukan nanti kerana kita tahu pengalaman Vicente di Sepanyol cukup luas,” katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, wujud kebimbangan segelintir pemerhati selepas Pan-gon meninggalkan skuad Harimau Malaya.

Sepanjang dua tahun di bawah bimbingan jurulatih dari Korea Selatan itu, banyak perubahan berjaya dilakukan termasuk corak permainan yang lebih agresif dengan banyak menekan pihak lawan untuk melakukan kesilapan.

Hasilnya beberapa keputusan cemerlang dilakar termasuk menamatkan badi 42 tahun apabila layak secara merit ke Piala Asia di Qatar pada Januari lalu, selain kenaikan ranking Fifa hingga mencapai paras 130 dunia tahun lalu.

Paling membanggakan sudah tentunya kejutan ke atas Korea Selatan di Piala Asia apabila anak buah Pan-gon mengikat jaguh Asia itu 3-3 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan ketika itu.

“Saya sendiri berada dalam skuad Piala Asia tempoh hari dan saya yakin dengan kemampuan Vicente. Beliau ada sentuhan istimewa buat pasukan negara.

“Saya harap semua pihak terutamanya penyokong terus beri sokongan dan kepercayaan di bahu beliau agar kita berjaya dalam perlawanan akan datang,” kata Josue yang juga ketua pasukan Kuala Lumpur City FC itu.

sumber:- HM

Tugasan pertama yang bakal menanti Vicente yang pernah membimbing pasukan remaja Barcelona itu adalah kejohanan Pestabola Merdeka pada 4 September ini, dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyasarkan muncul juara.