sukan

‘Saya ingat orang Malaysia baik-baik belaka’

‘Saya ingat orang Malaysia baik-baik belaka.’

Itu hantaran mesej Shinji Nakano kepada Shah Firdaus Sahrom selepas ‘tentera bawang’ Malaysia menyerang akaun media sosial milik pelumba berbasikal trek Jepun itu.

Tindakan kurang bijak netizen Malaysia itu tercetus selepas insiden perlumbaan final acara keirin di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan rata-rata menganggap Nakano menjadi punca perlanggaran sehingga meleburkan harapan Shah Firdaus untuk setidak-tidaknya menamatkan saingan di pentas podium.

Begitupun, Shah Firdaus menganggap tindakan itu sebagai sesuatu yang memalukan Malaysia apatah lagi dia dan Nakano bersahabat selain mengakui permohonan maaf yang kononnya dari akaun TikTok pelumba Jepun itu sebenarnya palsu.

“Malam semalam (kelmarin) dia mesej saya, kata dia kena serang (di akaun media sosialnya)… saya pun tak tahu, apabila saya tengok, sudah berpuluh ribu komen.

“Saya harap netizen berhenti sebab perkara itu menjejaskan kami juga. Perkara itu memang berlaku (perlanggaran), ada ‘body contact’ dan itu biasa dalam keirin dan sebenarnya dia tak berniat nak ‘hentam’ saya, itu sebab ‘G-force’.

“Bila ada ‘body contact’, ‘G-force’ itu nampak seperti dia naik tetapi dalam keirin benda itu biasa, tinggal jatuh atau tidak sahaja,” kata Shah Firdaus.

Pada perlumbaan final keirin di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines, Shah Firdaus pada suatu ketika dilihat berada di kedudukan untuk sekurang-kurangnya meraih gangsa pada pusingan terakhir sebelum berlaku perlanggaran dengan Nakano yang mengakibatkannya terjatuh.

Shah Firdaus tidak dapat menamatkan perlumbaan sebelum terpaksa akur diturunkan kedudukan ke penamat keenam.

Kontroversi itu menimbulkan kemarahan netizen sehingga menyerang akaun media sosial Nakano sebelum tercetusnya satu hantaran permohonan maaf kepada Malaysia di akaun TikTok yang kononnya milik pelumba Jepun berkenaan.

“Itu bukan TikTok dia (Nakano), dia cakap perkara itu dengan saya. Kami jumpa selepas perlumbaan… (akaun) TikTok itu, biasalah orang buat cerita. Tapi saya dengan dia OK sahaja, saya dengan dia tak ada masalah.

“Keirin biasa, ada ‘body contact’ apa semua, cuma mungkin daripada mata penonton macam dia sengaja tetapi memanglah, semua orang nak menang jadi tak ada dendam apa-apa.

“Yang buat saya terasa, dia ingat orang Malaysia baik-baik sebab saya baik dengan dia. Kalau saya ke Jepun, dia bawa saya jalan semua. Bila dia berasa begitu, saya rasa serba salah.

sumber:- BH

“Dia mesej saya, dia ingat rakyat Malaysia baik-baik, saya macam malunya,” kata Shah Firdaus.