Aksi 10 minit ketika berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu lalu boleh dianggap sebagai tempoh paling bermakna buat Faisal Halim.
Ia penampilan pertama penyerang Selangor itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas 97 hari terbabit dalam insiden malang menjadi mangsa simbah asid pada awal Mei lalu.
Faisal masuk sebagai pemain gantian ketika perlawanan menuju minit ke-86 dengan dia hampir meledak gol seminit selepas itu apabila tandukannya singgah di palang gol.
Ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil menganggap perkembangan positif yang ditunjukkan Faisal sebagai perkara yang baik buat skuad Gergasi Merah dan Harimau Malaya.
Beliau memahami situasi yang terpaksa dihadapi Faisal dan menjelaskan pemain berusia 26 tahun itu masih memerlukan masa untuk kembali mendapat sentuhan sebenar.
“Apa yang dia alami memang ‘gila’. Saya rapat dengan dia, saya tahu apa yang dia alami termasuk dari segi fizikal dan mental. Dia nak bermain, kita bagi dia 10 minit dan saya rasa minit-minit macam ini akan membantu perkembangan dia.
“Saya tak kata menyelesaikan masalah, tapi akan membantu perkembangan dia, baik untuk Selangor, baik untuk pasukan negara.
“Jadi peluang itu baik, mungkin akan ada sedikit karat (persembahan Faisal), tapi saya berasa ia biasa bagi orang yang selepas melalui perkara musibah macam ini. Namun anda boleh nampak, dia hampir jaringkan gol, bola kena palang.
“Tanggungjawab saya gilap karat-karat dia sedikit dan paling penting minda dia tepat untuk berkembang dengan lebih baik,” katanya.
sumber:- BH
Faisal turut dijangka membuat penampilan bersama skuad Pilihan Selangor dalam aksi Piala Sultan Selangor 2024 yang akan berlangsung di Stadium Merdeka, Sabtu ini.