sukan

Sabah FC tempang berdepan Selangor

Sabah FC terpaksa berdepan kunjungan Selangor FC tanpa empat tonggak utama pada aksi Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam esok.

Empat pemain terbabit ialah kapten pasukan, Park Taesu, Gabriel Peres, Stuart John Wilkin dan Miguel Cifuentes atau Cifu.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang mengesahkan perkara itu dan berkata pemain terbabit masih berada dalam senarai kecederaan.

Situasi itu dilihat memberi cabaran getir kepada skuad Sang Badak, lebih-lebih lagi Selangor ketika ini dalam persiapan ke perlawanan akhir Piala FA.

Kim Swee menjangkakan Selangor akan memanfaatkan aksi malam esok untuk mendapatkan keputusan positif sebagai bekalan ke perlawanan akhir Piala FA musim ini.

“Sudah tentu Selangor FC akan memanfaatkan pertemuan ini untuk mencatat keputusan positif sebagai motivasi penting sebelum beraksi pada perlawanan akhir Piala FA nanti.

“Kita tahu Selangor mendapat kemenangan ketika beraksi di luar sebelum ini dan layak ke final Piala FA, sudah pasti ia akan memberi satu cabaran yang cukup sengit beraksi di Kota Kinabalu esok,” katanya mengulas persiapan menghadapi aksi Liga Super esok.

Kim Swee berkata, bagi Sabah FC, kemenangan menentang Sri Pahang FC di Temerloh, Pahang pada Jumaat lalu dijadikan sandaran positif untuk meneruskan perlawanan menentang Selangor.

Katanya, walaupun berdepan ketiadaan pemain penting akibat kecederaan, pasukan bimbingannya tetap bersiap sedia memberikan tentangan hebat terhadap Selangor malam esok.

“Sabah FC tidak akan memandang rendah keupayaan pasukan lawan tetapi kita akan memastikan semua pemain bersiap sedia pada perlawanan esok.

“Kita tahu berdasarkan rekod, Sabah FC mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri berikutan sokongan padu daripada penyokong.

sumber:- BH

“Apa yang penting semua pemain perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal serta memberikan komitmen penting untuk mencapai keputusan positif pada malam esok,” katanya.