Kerapuhan benteng pertahanan sehingga dibelasah 0-6 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super malam tadi jelas mengecewakan ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain yang bagaikan hilang kata-kata melihat persembahan pemainnya.
Jelas Nafuzi, keputusan yang di luar jangkaan itu pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, tidak menggambarkan persembahan sebenar skuad Kenari walaupun ‘tempang’ tanpa kehadiran pemain utama seperti Sony Norde, Faiz Nasir, Irfan Zakaria, Rizal Ghazali dan Sukhrob Nurullaev.
Pengendali kelahiran Kelantan itu berkata, KDA FC bermain dengan baik dan ada ketikanya mampu menyaingi kehebatan JDT sehinggalah Bergson Da Silva melengkapkan hatriknya dan permainan anak didiknya mula menunjukkan penurunan dan hilang konsentrasi.
“Pada babak kedua, kita masih bermain dengan baik apabila mampu mengatur gerakan dari bawah, cumanya sampai atas sahaja kita banyak hilang bola dan pihak lawan ambil peluang melakukan serangan balas.
“Kesilapan yang kita lakukan ialah melepaskan gol yang sangat mudah, selepas ketinggalan 0-3, pemain tampak hilang fokus dan mula melakukan kesilapan. Kita perlu sedar apabila bertemu dengan JDT, kita tak boleh buat kesilapan dan kita pasti akan dihukum,” katanya.
Nafuzi menambah, kekalahan dua kali berturut-turut di tangan JDT dalam tempoh kurang seminggu amat memeritkan dan pemain perlu bangkit pada perlawanan seterusnya menentang Negeri Sembilan FC di laman sendiri, Sabtu depan.
Ditanya mengenai perancangan pada jendela perpindahan kedua ini yang menyingkap tirai bermula 26 Ogos ini sama ada bakal akan membawa masuk pemain import baharu ketika persembahan yang mengecewak Milos Gordic dan Ebenezer Assifuah, ia masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.
“Soal perubahan (pemain baharu) itu kena bincang dengan pihak pengurusan terlebih dahulu. Sebagai ketua jurulatih, saya mempunyai perancangan tersendiri untuk menambah baik pasukan sedia ada.
sumber:- HM
“Apapun, kita perlu bangkit semula pada perlawanan seterusnya dengan mengutip tiga mata agar kita tidak terus ketinggalan dalam saingan liga ini,” ujar Nafuzi.