sukan

Olimpik : Saya percaya kami boleh beri ‘hadiah’

Saya percaya kami boleh berikan anda hadiah,” kata jurulatih berbasikal trek negara John Beasley menjelang acara keirin lelaki Olimpik Paris 2024 yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome, hujung minggu ini.

Penyandang pingat perak, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan menjadi tumpuan seluruh negara yang menantikan kilauan pingat emas Olimpik pertama, pada dua hari terakhir temasya berprestij itu.

Kedua-duanya menamatkan kempen acara pecut pada Rabu, selepas tersingkir pada pusingan 1/8 (Mohd Azizulhasni) dan 1/32 (Muhammad Shah Firdaus) sebelum berehat bagi menghadapi acara kegemaran mereka itu.

Dalam acara pecut, Azizulhasni yang meraih julukan ‘The Pocket Rocketman’ memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dengan mencatatkan 9.402 saat (s) untuk menamatkan pusingan kelayakan pada kedudukan ke-10, sekali gus mengatasi rekod sebelum itu 9.523s yang dilakukan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai, tahun lalu.

Beasley berkata, anak buahnya kini ‘mendapatkan kelajuan’ yang diperlukan untuk meneruskan momentum pada Sabtu dan Ahad ini.

“Jadi sekarang hanya sesi latihan ringan dan berehat dan harapnya pada Ahad kami boleh bawakan momentum yang baik. Saya mempunyai penunggang keirin terbaik dunia, bila-bila masa (boleh menang) tiga terbaik.

“Yang paling utama ialah kami dapat kelajuan yang diperlukan untuk menang. Jadi, sesiapa pun dalam saringan kami, siapa di gelanggang, kami mempunyai kelajuan untuk melakukannya. Kami datang ke sini untuk memenangi acara kegemaran kami (keirin), kami menuju sasaran, saya lega,” katanya kepada Bernama.

Pusingan pertama dan repechages dijadualkan pada Sabtu manakala suku akhir, separuh akhir dan final akan diadakan keesokan harinya pada hari terakhir Sukan Olimpik Paris.

Dalam pada itu, Beasley memuji atlet berusia 20 tahun Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, yang terlepas suku akhir wanita kelmarin selepas mempamerkan aksi cemerlang dan dia akan bertanding dalam acara pecut bermula hari ini.

“Dia akan menjadi lebih baik dalam empat tahun, dia melangkaui jangkaan saya, kami banyak berbincang mengenai taktik dengan menonton video, dan dia seorang yang cerdik, cepat tangkap.

“Dia melaksanakan strategi dengan baik, kami tahu kami tidak sekuat seorang lagi peserta, jadi kami perlu lebihkan taktik…dia agak kurang bernasib baik…tetapi saya sangat berpuas hati dengan persembahannya,” katanya mengulas persembahan pelumba yang pertama kali beraksi di pentas Olimpik itu.

sumber:-HM

Setakat ini, Malaysia merangkul dua pingat gangsa menerusi pemain badminton Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) dalam temasya itu.