sukan

Olimpik : Raja Pecut disahkan Positif

Juara 100 meter Olimpik, Noah Lyles mendedahkan dia diuji positif COVID-19 dua hari sebelum berakhir di tangga ketiga final acara 200m, menambah dia percaya pembabitannya pada Paris 2024 kini sudah berakhir.

Lyles, yang membida untuk menyapu bersih emas berganda 100m-200m di Paris, diusung keluar dari trek dengan kerusi roda susulan perlumbaan itu, yang dimenangi pelari Botswana, Letsile Tebogo.

Dia kemudian membuat hantaran di laman Instagram: “Saya percaya ini adalah pengakhiran Sukan Olimpik 2024 saya.

“Ia bukannya Olimpik yang saya impikan tetapi hati saya tetap gembira,” kata Lyles.Ia bermakna Lyles tidak akan memberi sumbangan apabila kuartet Amerika Syarikat (AS) cuba untuk memenangi pingat emas 4x100m berganti-ganti awal pagi esok.

Bintang pecut AS berusia 27 tahun itu, yang mengalami asma sebelum ini, dilihat menggunakan pelitup muka sejurus sebelum final acara 200m awal pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada tanda-tanda kesakitan apabila atlet AS itu diperkenalkan kepada penonton sebelum perlumbaan.

Dalam satu temu ramah bersama NBC, Lyles berkata: “Saya bangun awal pagi, kira-kira jam 5 pagi Selasa lalu dan saya berasa amat teruk.

“Saya sedar ia lebih daripada berasa sakit tekak selepas acara 100m. Kami mengejutkan doktor dan membuat ujian dan malangnya, saya positif COVID-19.”

Lyles kemudian memberitahu wartawan kesakitan itu “pasti menjejaskan persembahan saya.””Tetapi sejujurnya, saya lebih berbangga dengan diri sendiri daripada segala-galanya,” katanya. “Keluar ke sana dan mendapat pingat gangsa bersama COVID.

“Kami cuba merahsiakan semua ini. Hanya orang yang tahu adalah staf perubatan, jurulatih saya, ibu saya, keluarga saya. Kami tidak mahu semua orang menjadi panik.

sumber:- BH

“Kami mahu mereka mampu bersaing. Anda tidak perlu memberitahu pencabar anda bahawa anda sakit.” – AFP