Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon sah menyertai kelab Korea Selatan, Ulsan HD FC.
Perkembangan berkenaan disahkan juara dua kali Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan pemenang empat kali K League 1 itu di laman sosial rasmi kelab, hari ini.
Pan Gon pada 16 Julai lalu dilaporkan membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai pengendali Harimau Malaya berkuat kuasa serta merta kerana komitmen peribadi.
Bagaimanapun, terdapat laporan selepas peletakkan jawatannya yang mendakwa pengendali berusia 55 tahun itu bakal dilantik sebagai ketua jurulatih Ulsan HD yang sebelum ini dikenali sebagai Ulsan Hyundai.
Ketika bergelar pemain, Pan Gon pernah beraksi bersama Ulsan Hyundai dari 1992 hingga 1996 dengan kelab itu muncul juara K League 1 buat kali pertama pada 1996.
Pam Gon yang membimbing Harimau Malaya selama dua tahun setengah dilaporkan akan tiba di Korea esok dan terus menyertai kelab berkenaan untuk memulakan latihan pasukan.
sumber:- BH
Dia akan membuat penampilan pertama sebagai pengendali Ulsan HD pada 10 Ogos ini apabila berdepan Daegu FC dalam saingan K League 1.