sukan

Komen Bidoglio selepas bedal ‘budak U’

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio enggan mendabik selepas pemainnya mudah ‘meratah’ pasukan Liga A1 Semi Pro, Malaysian University FC 5-0 pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.

Pengendali kelahiran Argentina itu menyifatkan baki 90 minit pada aksi kedua nanti cukup penting untuk menoktahkan slot ke separuh akhir walaupun skuad yang bergelar Harimau Selatan tampak begitu selesa selepas melakar kemenangan besar ke atas anak didik Ridzuan Abu Shah.

“Masih belum selesa lagi walaupun kami berkelebihan 5-0 kerana dalam permainan bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan saya mahu pastikan rentak kemenangan diteruskan apabila kami sekali bertemu 5 Julai nanti.

“Apa yang pemain tempuhi tampak sukar terutama di babak pertama apabila pasukan lawan beraksi terlalu bertahan sehingga sembilan pemain berada di kawasan pertahanan dan ia menyukarkan kami untuk menembusi benteng lawan.

“Di babak kedua, kami menemui ruang untuk bergerak dan melakukan serangan bertali arus dengan asakan bermula di posisi tengah dan kemudian beralih di posisi sayap kiri dan kanan yang membuka ruang untuk menjaringkan empat gol,” katanya.

Bidoglio juga tidak menafikan corak permainan bertahan Malaysian University cukup berdisiplin namun ada ketika mereka begitu leka dan kesempatan itu diambil bagi menjaringkan gol.

sumber:- BH

Tambahnya, peluang untuk memberi pemain simpanan yang jarang mendapat minit permainan membuktikan JDT dibarisi pemain yang berkualiti dan sentiasa bersedia diturunkan.