sukan

Wei Chong-Kai Wun buka lagi biasa-biasa

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memuji tahap konsisten dipamerkan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pada sepanjang minggu Terbuka Indonesia.

Wei Chong-Kai Wun menamatkan kejohanan bertaraf Super 1000 itu selaku naib juara selepas kecundang di tangan beregu nombor dua dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-19, 16-21, 12-21.

Perkembangan dipamerkan gandingan ke-20 dunia itu boleh dianggap sebagai satu pencapaian yang positif buat mereka dengan lima penyertaan di Super 1000 sejak 2022 dengan sebelum ini mereka sering terkandas seawal pusingan pertama lagi.

“Persembahan Man-Tee cukup konsisten. (Prestasi) mereka di Masters Malaysia dan Terbuka Singapura boleh dikatakan biasa-biasa sahaja tetapi di Terbuka Indonesia, sangat konsisten dari pusingan pertama sehinggalah terutamanya ke set kedua (final)… mereka masih menunjukkan konsisten.

“Apapun, mereka masih perlu melihat peluang yang ada di depan mata untuk mengambil keputusan sepatutnya bagi mengatasi lawan. Harap di masa hadapan, mereka tetap terus konsisten dan fokus kepada karier untuk lebih baik dan harus bersiap menjadi pemain dalam kelompok kelas utama,” kata Rexy.

sumber:- BH

Untuk rekod, kali terakhir beregu lelaki negara meraih gelaran di Terbuka Indonesia adalah menerusi gandingan Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada 2008 serta Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Jalani Sidek pada 1988 dan 1990.