sukan

Saya tidak pernah minta tinggalkan Malaysia– Pan Gon

Meskipun peluang Malaysia untuk meraih slot lebih awal ke Piala Asia 2027 tampak tipis, pengendalinya, Kim Pan Gon menegaskan betapa beliau mahu terus mengemudi pasukan Harimau Malaya ke saingan berprestij Asia itu.

Pan Gon mengakui dia sama sekali tidak pernah meminta untuk meninggalkan pasukan itu sekali gus memberi isyarat dia mahu kekal mengendalikan pasukan itu ke saingan Piala Asia yang seterusnya.

“Saya harus kekal di sini dan saya tidak pernah meminta untuk meninggalkan pasukan. Kita sentiasa berjuang tetapi ini (meninggalkan pasukan kebangsaan) bukanlah keputusan yang boleh saya buat.

“Saya mahu pergi ke Piala Asia yang seterusnya,” kata Pan Gon pada sidang media selepas tamat perlawanan menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Terdahulu, Harimau Malaya menghidupkan sisa-sisa perjuangan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 apabila bangkit menewaskan Taiwan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Bagaimanapun, skuad negara yang kini berkongsi 10 mata bersama pasukan tangga kedua Kumpulan D, Kyrgyzstan memiliki peluang amat tipis untuk melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027.

Skuad negara kini hanya boleh mengharapkan keajaiban besar berlaku di Muscat supaya Oman membelasah Kyrgyzstan sekurang-kurangnya tujuh gol untuk Harimau Malaya melepasi Kumpulan D.

Mengulas lanjut aksi terbabit, Pan Gon melihat peluang negara mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 sememangnya tipis dan kegagalan mendapatkan kemenangan besar ke atas Taiwan amat memeritkan.

“Kita sasarkan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya tujuh gol tetapi kita tidak berjaya dan ini satu situasi yang menyakitkan.

“Strategi kita tidak begitu menjadi dan ada beberapa kesilapan pada babak pertama sehingga kita membenarkan Taiwan menjaringkan gol terlebih dahulu.

sumber:- BH

“Kita bangkit pada babak kedua tetapi kita perlu belajar daripada perlawanan ini dan menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya.