sukan

Tujuh pemain Manchester United sah angkat kaki

Manchester United mengesahkan tujuh pemain akan meninggalkan kelab itu selepas mereka mengumumkan senarai pemain yang akan terus kekal bersama kelab itu dengan rundingan mendapatkan beberapa lagi pemain sedang berjalan.

Anthony Martial dan Raphael Varane sudahpun mengesahkan bahawa mereka akan berpindah selepas kontrak masing-masing tamat.

Menyertai mereka ialah pemain pertahanan Brandon Williams yang menyertai pasukan senior di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer pada 2019, membuat 51 penampilan untuk pasukan utama.

Dia menghabiskan musim lalu secara pinjaman di Ipswich Town, menikmati permulaan kempen yang mengagumkan tetapi bermain perlawanan terakhirnya untuk Tractor Boys pada bulan Disember.

Jonny Evans yang kembali ke kelab tahun lalu, sedang berbincang mengenai kontrak baharu bersama penjaga gol veteran Tom Heaton yang juga bekas graduan akademi United.

Mason Greenwood antara pemain yang dikekalkan dengan kontraknya dengan United sehingga 2025.

Laporan minggu ini mendakwa Omari Forson, yang membuat penampilan sulung di peringkat di bawah kendalian Erik ten Hag pada awal tahun turut bersedia untuk meninggalkan kelab itu apabila perjanjiannya tamat pada akhir bulan ini.

United bagaimanapun mengesahkan ‘perbincangan tetap terbuka’ dan mereka secara rasmi menawarkan pemain sayap itu perjanjian baharu.

Sementara itu penyerang Shola Shoretire turut berdepan situasi yang sama. Shoretire menjadi pemain termuda kelab yang pernah membuat penampilan dalam pertandingan Eropah apabila dia dimasukkan sebagai pemain pengganti pada usia 17 tahun dan 23 hari pada tahun 2021.

Dia kini berusia 20 tahun dan menghabiskan musim lalu sebagai pemain pinjaman di Bolton Wanderers.

United juga mengesahkan bahawa Charlie McNeil akan meninggalkan kelab untuk ‘mencari peluang baru di tempat lain’.

sumber:- HM

Penyerang itu sebelum ini bermain di akademi Manchester City, menjaringkan lebih dari 600 gol pada peringkat remaja sebelum berpindah ke United.