sukan

Leong Jun Hao tak riak biarpun tumbangkan Jaguh-jaguh dunia

Pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao enggan mendabik dada selepas mencipta sensasi menyingkirkan beberapa pemain ternama dunia.

Jun Hao yang berada di ranking ke-32 dunia berjaya mengejutkan nama besar seperti pemain Jepun, Koki Watanabe dalam saingan Piala Thomas dan prestasinya selepas itu terus konsisten.

Hari ini dia menunjukkan kemampuannya sekali lagi apabila membenam juara Seluruh England dan Asia, Jonatan Christie pada pusingan pertama Terbuka Indonesia di Istora Senayan.

Jonatan adalah pemain kedua ternama Indonesia yang tumpas di tangannya selepas dia ‘mengajar’ Anthony Sinisuka Ginting di Terbuka Singapura minggu lalu.

“Sejak Piala Thomas, saya rasa berjaya mengekalkan tahap konsistensi dan tahap keyakinan juga lebih baik,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas menewaskan Jonatan 21-13, 16-21, 21-12 dalam tempoh satu jam 2 minit di Istora Senayan.

Pertembungan antara kedua-dua pemain di Istora Senayan itu adalah yang pertama buat mereka dan bagi Jun Hao, dia enggan menjadikan kemenangan itu sebagai satu keselesaan buat dirinya.

“Kemenangan ini, saya tidak boleh terlalu selesa kerana mereka yang saya menang sedang dalam persiapan ke Sukan Olimpik dan setiap pemain ada masa naik dan turunnya. Saya juga dapat melakukan yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, beregu campuran negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien kecundang straight set di tangan gandingan Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 17-21, 18-21 dalam tempoh 44 minit.

sumber:- BH

Dalam acara beregu campuran, gandingan Yap Roy King-Valeree Siow turut terpaksa melupakan saingan di Indonesia selepas tewas 21-19, 13-21, 18-21 di tangan wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.