sukan

Bintang Indonesia mungkin import terbaharu Liga Malaysia

Selangor FC (SFC) tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan khidmat pemain import dari Indonesia sekiranya mendapat ‘lampu hijau’ dari pihak pengurusan.

Jurulatih ‘The Red Giants’, Nidzam Jamil mengakui mereka sentiasa memiliki kenangan manis bersama pemain dari republik itu yang pernah bersama pasukan itu sebelum ini.

“Mereka memberi impak dan kesan yang besar kepada pasukan di mana mereka sentiasa bekerja keras. Mereka ada etika kerja yang bagus dan sebab itulah kita dapat rasakan kasih sayang antara pemain Indonesia dan Selangor.

“Mereka sentiasa memberikan yang terbaik untuk kita. Secara jujurnya, jika pengurusan benarkan (ambil) seorang (pemain Indonesia), apa salahnya.

“Ramai peminat Indonesia di Malaysia juga menginginkan untuk melihat pemain mereka di Liga Malaysia (Liga M),” kata Nidzam.

Sebagai rekod, antara pemain Indonesia yang pernah mewakili Selangor adalah Bambang Pamungkas, Elie Aiboy, Andik Vermansyah, Evan Dimas dan juga Ilham Udin Armaiyn.

Dalam perkembangan lain, Nidzam turut menyifatkan perlawanan RCTI Premium Sports yang sedang diharungi mereka ketika ini sebagai satu medium yang terbaik khususnya dalam merapatkan hubungan antara Malaysia dan juga Indonesia.

“Bukan sahaja merapatkan hubungan tetapi ia memberi kesempatan kepada kita untuk menurunkan pemain yang kurang mendapat minit permainan dalam liga kita.

“Ini juga membantu kita mengekalkan mentaliti kemenangan supaya kita dapat teruskan momentum yang bagus di liga nanti,” katanya.

sumber:- BH

Sebagai rekod, Selangor FC akan menentang Persija Jakarta di final RCTI Premium Sports, malam esok.