sukan

Trauma masih menghantui walaupun sudah lama

Pemain sayap muda Terengganu FC, Muhammad Syafik Ismail mengakui tidak mudah untuk melawan perasaan trauma apabila beraksi di atas padang pada musim ini selepas mengalami kecederaan ‘anterior cruciate ligament (ACL) yang dialaminya tahun lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu disahkan mengalami kecederaan ACL tahap tiga, Mei tahun lalu, dalam perlawanan Piala FA menentang Kelantan FC.

Jelasnya, tidak mudah untuk dirinya mengharungi episod hitam tersebut apatah lagi terpaksa melupakan kesemua aksi Liga Malaysia (Liga M) musim lalu dan memerlukan lapan bulan untuk mengharungi proses pemulihan daripada kecederaan terbabit.

Syafik yang tersenarai sebagai pemain gantian dalam tiga aksi awal Liga Super teruja dapat kembali beraksi bersama pasukan sambil mendapatkan semula keyakinannya di atas di padang.

“Secara jujurnya, trauma tersebut saya rasai sehingga kini namun saya harus berdepan dan kembali bermain untuk karier saya,” katanya.

Anak jati kelahiran Marang itu turut menyifatkan tempoh pemulihan selama lapan bulan yang diperlukan untuk sembuh daripada kecederaan ACL adalah satu detik yang sangat mencabar bagi dirinya.

Malah, selain bergelut dengan kecederaan yang menimpanya pada ketika itu, dia juga bertarung dengan kerisauan perjalanan karier bola sepaknya kerana kecederaan ACL ini memerlukan masa untuk pulih.

“Sepanjang lapan bulan itu, pelbagai rawatan yang saya terima termasuk pembedahan dan fisioterapi.

sumber:- BH

“Namun, saya berjaya bangkit dengan sokongan ibu, isteri, keluarga mentua dan rakan-rakan yang banyak memberi sokongan kepada saya untuk mengharungi hari sukar ini,” katanya.