sukan

Ada orang nak beli Kelantan ke Piya

Jika pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman bersedia untuk melepaskan pasukan itu, adakah pihak yang sedia membeli pasukan itu mengikut terma yang mampu memuaskan hati Norizam?

Itu persoalan dilemparkan pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa ketika diminta mengulas mengenai rayuan bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi yang meminta Norizam melepaskan pasukan itu kepada pihak lain jika benar-benar sudah tidak mampu menguruskan The Red Warriors (TRW).

Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu menjangkakan Norizam sudah pasti keberatan untuk melepaskan pasukan itu sekiranya tidak ‘kena’ dengan harganya apatah lagi dia sudah banyak melabur untuk membeli pasukan itu sebelum ini.

“Mungkin ada yang kata jual sahaja tetapi ada pembeli atau tidak? Kalau Norizam nak lepaskan (pasukan), memang dia boleh lepaskan tetapi kita pun kena faham bahawa dia mesti mahu dapatkan jumlah yang sesuai dengan apa yang sudah dilaburkan.

“Ini satu perkara yang perlu difahami oleh semua pihak. Jadi siapakah insan yang sedia membuat pelaburan dan membeli Kelantan FC? Mungkin ada dalam kalangan orang Kelantan yang benar-benar menyayangi atau mahu mengembalikan kegemilangan Kelantan FC boleh membeli pasukan itu.

“Setidak-tidaknya Norizam mesti mahu balik modal selepas banyak melabur. Jadi isunya, urus niaganya mestilah memuaskan hati Norizam ataupun nilai itu boleh dipersetujui oleh Norizam untuk melepaskan pegangan pasukan itu kepada pemilik baharu,” kata Sadek.

Terdahulu, Mohd Badhri yang lebih dikenali sebagai Piya menjelaskan langkah Norizam atau lebih dikenali Zamsaham melepaskan Kelantan FC mungkin menjadi jalan terbaik dalam menaikkan semula pasukan Kelantan yang sebelum ini menjadi pasukan digeruni termasuk pernah memenangi kejuaraan ‘treble’ pada 2012.

Piya berkata, Norizam harus menerima hakikat sekiranya perlu menanggung kerugian jika terpaksa menjual Kelantan FC dengan harga murah berdasarkan masalah yang dihadapi TRW terutama kes tunggakan gaji.

Malah, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (FAFA), Tan Sri Annuar Musa menerusi catatan di Facebook miliknya turut meluahkan rasa sedih terhadap nasib yang menimpa TRW.

Annuar yang menjadi pencetus zaman kebangkitan gemilang bola sepak Kelantan turut berpendapat TRW harus bertukar milik bagi melakukan perubahan dan menyelamatkan pasukan itu dari terkubur.

Dalam masa sama, Sadek juga melihat cadangan itu sekadar untuk memaksa Norizam melepaskan Kelantan FC tanpa sebarang cadangan yang konkrit mengenai pemilik baharu bukanlah satu langkah yang terbaik.

“Saya lihat setakat bercakap (minta Norizam lepaskan Kelantan FC) bukanlah penyelesaiannya. Mungkin Piya dan Annuar boleh tampil dengan kertas cadangan ataupun wujudkan konsortium untuk dapatkan Kelantan FC dari Norizam.

sumber:- BH

“Kita kena hormat dengan apa yang sudah Norizam laburkan sebelum ini. Jadi mungkin mereka boleh duduk berbincang dan kemukakan harga yang dirasakan sesuai kepada Norizam,” katanya.