sukan

Kalendar FIFA buat Kim Pan-gon ‘tak senang’

Indonesia bakal menjadi penghalang buat skuad Harimau Malaya apabila dijangka kedua-dua pasukan akan bertemu di separuh akhir saingan Piala AFF, hujung tahun ini.

Berdasarkan perkiraan, anak buah Kim Pan-gon dijangka mampu melepasi peringkat Kumpulan A sebagai naib juara di belakang Thailand yang kini menghuni tangga 101 dunia ketika Malaysia di kedudukan 138 dunia.

Skuad Garuda yang kini berada di tahap terbaik menerusi kejayaan pasukan senior dan bawah 23 (B-23) melangkah ke pusingan kalah mati Piala Asia di Qatar pada Januari dan April lalu dianggap pilihan untuk menjuarai Piala AFF kali ini.

Malah peningkatan mendadak ranking dunia Indonesia yang menghuni tangga 134 ketika ini dijangka mengungguli Kumpulan B saingan serantau itu untuk menempah pertemuan dengan skuad Harimau Malaya.

Lantas, pasukan kendalian Pan-gon harus bersedia mengharungi aksi itu jika pertembungan itu menjadi kenyataan di mana aksi timbal balik khususnya di Jakarta pastinya berlangsung ‘panas’ di luar mahupun di dalam stadium.

Menyedari ujian getir itu, Pan-gon akui akan cuba membariskan skuad terbaik bagi menghadapi saingan itu yang juga kejohanan keduanya di Piala AFF selepas terkandas di separuh akhir pada edisi 2022 lalu di tangan Thailand dengan agregat 1-3.

“Kami akan cuba dapatkan pemain-pemain terbaik untuk membina satu skuad yang mantap untuk memberikan saingan dalam kejohanan ini,” katanya selepas majlis undian di Hanoi, Vietnam.

Begitupun hasrat itu bukan mudah kerana Piala AFF dijadual berlangsung di luar kalendar Fifa dari 23 November hingga 21 Disember sekali gus membolehkan kelab tidak melepaskan pemain ke saingan itu biarpun mungkin kempen Liga Malaysia berhenti rehat seketika.

Lebih memeritkan kejohanan serantau itu bertindih dengan saingan kelab Asia iaitu Liga Juara-Juara Asia Elite (ACL Elite) dan Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) babitkan pasukan Johor Darul Ta’zim serta Selangor FC.

sumber:- HM

Semakan mendapati tarikh perlawanan peringkat kumpulan ACL Elite dan ACL II pada 25-27 November dan 2-4 Disember adalah aksi minggu kelima dan keenam sekali gus Pan-gon terpaksa melupakan khidmat tonggak dari skuad Harimau Selatan dan Red Giants.