LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu bersolidariti dengan Selangor FC tidak mengenakan hukuman kepada pasukan itu selepas menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih pada Jumaat lalu.
Pemerhati bola sepak tempatan, Azlan Johar berkata, MFL selaku badan pengelola liga perlu mempunyai toleransi dan timbang rasa apatah lagi insiden yang membabitkan pemain sayap Selangor, Faisal Halim di luar jangkaan.
Menurutnya, tiada mana-mana pasukan dalam dunia ini yang sewenang-wenangnya mahu menarik diri dan percaya skuad Gergasi Merah itu terpaksa membuat keputusan sukar itu demi keselamatan pasukan.
“Dalam sukan ini baik daripada pasukan atau pengurusan liga, perlu ada toleransi. Kalau MFL ini sebagai satu badan yang disegani memimpin atau menerajui satu pertubahan yang besar, harus menunjukkan simpati kepada apa yang telah Selangor hadapi.
“Jika mereka bersikap bertimbang rasa yang tinggi tidak mengenakan hukuman, saya rasa semua peminat bola sepak pastinya bersetuju dengan tindakan MFL itu.
“Sudah tentu ada juga yang tidak bersetuju, tetapi perkara yang berlaku kepada Selangor ini adalah sesuatu yang diluar jangkaan,” katanya .
Sebelum ini, Selangor FC telah membuat permohonan kepada MFL untuk menunda Piala Sumbangsih atas alasan keselamatan susulan insiden Faisal yang disimbah asid selain ugutan diterima oleh beberapa orang pengurusan kelab itu.
Bagaimanapun, MFL menolak permohonan tersebut sekali gus menyebabkan Selangor membuat keputusan untuk menarik diri mengambil kira insiden tersebut selain ancaman yang berlaku melibatkan berapa pemain dan pegawai pasukan itu.
Tindakan Selangor menarik diri itu bakal mengundang hukuman dan badan pengelola liga itu akan membawa isu penarikan diri ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, Azlan yang juga bekas pemain kebangsaan memuji tindakan Selangor yang tidak meneruskan aksi Piala Sumbangsih itu terutama dalam keadaan pasukan yang masih dalam keadaan terkejut dan bimbang.
“Ini juga membuktikan bahawa mereka tidak mementingkan mengenai mata atau kemenangan sebaliknya lebih kepada kebajikan dan keselamatan pemain.
sumber:- SH
“Tak dapat gengam Piala Sumbangsih pun tak apa, yang penting mereka jaga pemain dan pasukan selain mahu menunjukkan apa yang berlaku kepada Faisal itu amat kejam,” katanya.