sukan

Luahan sedih TMJ

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengakui sedih walaupun Johor Darul Ta’zim (JDT) sah mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih.

Ia susulan Harimau Selatan diberikan kemenangan percuma selepas Selangor menarik diri daripada aksi perebutan trofi itu yang sepatutnya berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT menerusi satu komen di laman Instagram kelab itu meluahkan kesedihan apabila skuad kendalian Hector Bidoglio memenangi Piala Sumbangsih musim ini tanpa beraksi di atas padang.

“Satu lagi (piala). Sedih menang dengan cara begini, tetapi rezeki adalah rezeki. Allah sebaik-baik perancang,” tulis Tunku Mahkota Ismail.Terdahulu, JDT menerusi laman sosial rasmi kelab termasuk Instagram memuat naik gambar skuad Harimau Selatan bersama Tunku Mahkota Ismail di Stadium Sultan Ibrahim dengan kapsyen: “Kami di sini! Piala nombor 27”.

Selangor FC yang juga naib juara Liga Super musim lalu membuat keputusan menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih 2024 dengan alasan atas faktor keselamatan.

Keputusan itu diambil selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak permohonan mereka untuk menangguhkan perlawanan itu.

sumber:- BH

Susulan daripada itu, MFL memutuskan kemenangan secara ‘walkover’ kepada JDT dengan jaringan 3-0, sekali gus Harimau Selatan turut meraih tiga mata untuk Liga Super.