sukan

Hanya Tunku Mahkota Ismail paling layak

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menganggap hanya Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebagai calon paling layak untuk mengganti tempatnya di kerusi panas itu.

Hamidin memberikan nama Tunku Mahkota Ismail selepas ditanya siapa individu yang layak untuk mengemudi badan induk bola sepak negara sekiranya beliau melepaskan jawatan.

Ia susulan terdapat beberapa pihak mendesak Hamidin melepaskan jawatan sebagai Presiden FAM terutama selepas tersebar isu surat layang yang memberi gambaran negatif terhadapnya serta badan induk itu sebelum ini.

Hamidin menjelaskan, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki keupayaan yang diperlukan sebagai Presiden FAM untuk meningkatkan bola sepak negara.

“Orang yang nak dipilih (sebagai Presiden FAM) mesti ada pengetahuan yang tinggi dalam bola sepak, ada hubungan baik (dengan komuniti bola sepak dalam dan luar negara), ada kemahuan dan komitmen yang tinggi.

“Jadi, orang paling layak boleh menggantikan saya adalah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, jika nak bola sepak kita naik tinggi. Tunku Mahkota Ismail ada ciri-ciri itu, tak perlu cerita rekod, Tuanku ada kemampuan.

“Namun, peminat kena ketepikan sifat kenegerian, kalau nak bola sepak kita maju. Nak urus FAM bukan senang, kena urus VAR (video bantuan pengadil), ahli gabungan, pasukan kebangsaan, skuad senior dan bawah umur, futsal, bola sepak wanita, peminat, stadium pun nak kena uruskan,” kata Hamidin ketika temu bual bersama BH Sukan di Wisma FAM, hari ini.

Hamidin memikul tanggungjawab besar sebagai Presiden FAM sejak 2018 selepas Tunku Mahkota Ismail melepas jawatan.

Hamidin kemudian mempertahankan jawatan itu untuk penggal 2021-2025, selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-57 pada Mac 2021.

Mengulas mengenai desakan untuk beliau meletak jawatan, Hamidin memberi bayangan tidak akan tunduk dengan desakan itu, sebaliknya menjelaskan sedia dicabar pada Kongres FAM, tahun depan.

“Saya terbuka, maknanya saya diberi mandat sampai tahun depan. Sesiapa nak bertanding boleh bertanding tahun depan, bila sampai masanya. Saya tahu apa yang saya buat.

“Kadang-kadang dalam bola sepak ini, bila menang mereka sanjung jurulatih dan pemain, bila kalah mereka kata buang presiden, itu sentimen. Kita faham itu datang dari netizen, tetapi sesetengah (desakan) kita tak boleh ikut.

sumber:- BH

“Saya ikut peraturan, mengenai tuduhan (dalam surat layang) itu, kita boleh persoal adakah tuduhan itu betul atau tidak. Itu soalan yang perlu dijawab, kita perlu berfikiran waras dalam perkara ini,” katanya.