sukan

Macam dah kalah

Kapten Liverpool, Virgil van Dijk berkata keputusan seri dramatik 2-2 di Manchester United lewat malam tadi bagaikan satu kekalahan selepas mencicirkan dua mata dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Pelawat mendominasi majoriti perlawanan itu namun memerlukan penalti Mohamed Salah enam minit sebelum tamat untuk mengelak kekalahan selepas jaringan menakjubkan daripada Bruno Fernandes dan Kobbie Mainoo.

Keputusan seri itu menyebabkan Liverpool ketinggalan di belakang pendahulu Arsenal menerusi perbezaan jaringan dan hanya satu mata di depan Manchester City dengan berbaki tujuh perlawanan dalam persaingan memburu kejuaraan paling sengit.

Di sebalik United bergelut musim ini, Liverpool gagal menundukkan anak buah Erik ten Hag dalma tiga pertemuan.United menang aksi suku akhir Piala FA yang menarik 4-3 tiga minggu lalu dan seri 0-0 di Anfield pada Disember lalu.

“Ia bagaikan satu kekalahan,” kata Van Dijk. “Ia silap kami sekali lagi.

“Kami mempunyai terlalu banyak peluang dan kami patut menamatkan perlawanan itu dengan kemenangan.”

Sekiranya The Reds gagal melengkapkan musim terakhir kendalian Jurgen Klopp dengan memenangi kejuaraan utama liga Inggeris kali ke-20, sekali gus menyamai rekod United, mereka pasti akan merenung semula perlawanan malam tadi dan tertanya-tanya bagaimana mereka gagal untuk menang.

Bagi Liverpool, ia cerita sama seperti perlawanan Piala FA apabila mereka mensia-siakan banyak peluang untuk mengukuhkan pendahuluan mereka dan berakhir dengan dihukum oleh United.

Liverpool menamatkan babak pertama dengan 15 percubaan berbanding tiada langsung buat United. – AFP