sukan

Liverpool mesti cetus ‘banyak masalah’ buat Manchester United — Klopp

Jurgen Klopp berkata pemburu kejuaraan Liverpool mesti mencetus ‘banyak masalah’ buat Manchester United malam esok ketika mereka berusaha untuk mengurangkan kesilapan dilakukan di Old Trafford susulan kekalahan dramatik dalam Piala FA.

The Reds, ketika ini dua mata di depan Arsenal di puncak liga selepas menundukkan Sheffield United awal pagi semalam, tumpas perlawanan suku akhir mendebarkan di laman musuh tradisi mereka 4-3 pada detik akhir masa tambahan.

Klopp hanya menang dua dan seri empat kali daripada 10 kunjungan ke laman United, yang menghuni tangga keenam liga selepas kalah 4-3 di Chelsea.

Kemenangan United pada suku akhir Piala FA Mac lalu menamatkan impian Liverpool untuk memburu empat trofi – satu-satunya kekalahan buat pasukan Klopp dalam 12 perlawanan terakhir mereka.

“Kami amat bagus pada hari itu tetapi kami tidak menyelesaikan situasi itu,” kata pengurus Liverpool itu.”Masa tambahan terlalu menyesakkan buat kami… United mengubah arus perlawanan dan United satu pasukan yang bagus bermain di laman sendiri tetapi kami perlu melakukan apa yang kami lakukan dari minit ke-15 hingga ke-70.”

Warga Jerman itu menambah: “Bola sepak tidak terlalu mudah jadi kami perlu mencari jalan untuk mencetus masalah buat United. Mereka (United) akan cuba untuk melakukan perkara sama.

“Berdepan lawan ini, di stadium ini, kami perlu bermain satu perlawanan bola sepak yang amat bagus secara jujurnya jika kami mahukan sesuatu daripadanya.”

Klopp ditanya sama ada Liverpool perlu bertindak sempurna dalam lapan perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris, dengan juara bertahan City hanya satu mata di belakang Arsenal dalam perebutan kejuaraan tiga penjuru.

“Hampir kebanyakan masa ia satu perebutan yang sengit dan ia kelihatan satu perlumbaan yang sengit,” katanya. “Jika ia satu perebutan sengit maka tempat terbaik anda boleh berada adalah di dalamnya dan kami berada di dalamnya jadi ia bagus.

sumber:- BH

“Ayuh berjuang. Jelas perlawanan berikutnya satu lagi perlawanan besar… ia pasti sukar, lawan yang bagus, tetapi kami sedia dan kami mahu berada dalam persaingan itu.” – AFP