sukan

Yakin dengan Allah, kita yakin dengan rezeki kita — Syihan

Tumbang dua kali dalam dua pertemuan terakhir selain kedudukan ranking Oman di tangga ke-80 dunia menceritakan betapa ranjau berduri bakal diharungi Harimau Malaya dalam aksi ketiga Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, awal pagi Jumaat ini.

Malah kehadiran ribuan penyokong tuan rumah selain pelantikan ketua jurulatih baharu, Jaroslav Silhavy pada bulan lalu, menambah kebimbangan tentang corak permainan Oman yang pastinya berubah di bawah kendalian pakar taktikal dari Eropah itu.

Berdasarkan rekod, tugasan terakhir Silhavy adalah pada saingan Piala Eropah 2020 apabila beliau membimbing pasukan Republik Czech yang ketika ini menghuni ranking ke-40 dunia.

Begitupun, skuad negara yang berada di posisi ke-132 dunia tetap tenang menjelang aksi getir itu dengan setiap pemain digesa tidak terlalu obses dengan kejayaan di Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu apabila mengikat Korea Selatan 3-3 di perlawanan terakhir Kumpulan E.

Ingatan itu diberikan penjaga gol nombor satu negara, Syihan Hazmi yang mahu barisan pemain beraksi dengan tumpuan penuh dan cuba mencapai sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata ke tanah air.

“Kalau bagi Syihan nak letak harapan tinggi itu tak boleh, sebab kita tak tahu pihak lawan itu macam mana lagi dan Oman pun guna jurulatih baharu dan guna taktikal baharu.

“Kita hanya perlu usaha, semangat dan jangan hilang fokus. Kita ‘target’ apa yang mahu capai dan setiap perlawanan ini kita kena selalu ada ‘target’.

“Tak perlu nak terlalu obses dengan diri dan terlalu fikir lebih lagi, lebih lagi, tak perlu. Kita hanya main macam biasa, ada rezeki ada, tapi kita kena fokus dengan ‘target’ yang kita mahu capai,” katanya kepada Flash Sukan di Muscat.

Berdasarkan rekod pertemuan, Oman nyata lebih unggul apabila memenangi tiga pertemuan daripada enam aksi di peringkat antarabangsa sejak 1987.

Malaysia hanya mampu menang dua kali, masing-masing pada 1993 dan 2000 menerusi keputusan 2-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa dan saingan Pestabola Merdeka.

Begitupun, dalam dua pertembungan terakhir menyaksikan skuad Harimau Malaya tumbang 0-3 dan 0-6 pada 2010 serta 2015 dalam kedua-dua aksi persahabatan.

“Kita kena relaks sebab kita bukan main tempat sendiri, tapi kita main tempat lawan.

“Tempat lawan kita jangan terlalu obses sangat, macam mana sekali pun kita tak nak balik ke rumah tanpa mata, kita nak ada mata. Tapi jangan terlalu yakin, kita kena merendahkan diri.

“Jangan terlalu anggap pihak lawan itu terlalu kuat ke atau terlalu lemah ke, jangan.

“Kita yakin dengan pasukan kita, yakin dengan Allah, kita yakin dengan rezeki kita. Insya-Allah semua itu akan berjalan dengan lancar,” kata Syihan lagi.