sukan

Aksi Harimau Malaya buka mata Sasaki

Pertama kali beraksi di Malaysia, sudah tentu ramai tidak sabar untuk melihat sejauh mana kualiti mampu ditampilkan Takumi Sasaki bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) selaku pertaruhan import baharu Liga Malaysia (Liga M) 2024-2025.

Sasaki, 25, berharap dapat memikat hati peminat skuad Hobin Jang Hobin dengan persembahan menarik di bahagian tengah apabila saingan Liga Super musim ini membuka tirainya, Mei depan.

Pemain berasal dari Jepun itu berkata, tumpuannya hanyalah untuk membantu Negeri Sembilan dapat meraih pencapaian terbaik dalam Liga M musim ini.

“Saya memilih untuk bermain di sini selepas menyaksikan persembahan Malaysia dalam Piala Asia di Qatar pada Januari lalu di mana Harimau Malaya berjaya memberikan saingan hebat ketika berdepan gergasi Korea Selatan dengan keputusan 3-3 dalam perlawanan terakhir kumpulan.

“Aksi Malaysia yang penuh semangat dan mengagumkan dalam Piala Asia itu menarik perhatian serta memberi inspirasi untuk saya menyertai Negeri Sembilan.

“Mereka berkembang menjadi satu pasukan yang patut diberi pujian, dan saya suka menjadi sebahagian daripada perkembangan itu,” kata Sasaki dalam satu kenyataan di sini.

Sasaki yang sebelum ini beraksi dalam saingan J3 League di Jepun selaku pemain tengah dan meledak dua gol daripada 22 perlawanan musim lalu juga mengakui mahu mengembangkan pengalamannya dengan beraksi dari luar negaranya.

Menurutnya, kehadirannya bersama Negeri Sembilan juga hasil keyakinan diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus mengenai visi dan misi pasukan itu.

sumber:- BH

“Saya tertarik dengan pandangan beliau (Faliq) berkaitan visi dan misi kelab. Faliq mempunyai banyak idea yang bagus untuk membawa pasukan ke hadapan, dan saya bermotivasi untuk memainkan peranan besar di dalamnya,” katanya.