sukan

JDT bantu persiapan

Penyerang naturalisasi negara, Romel Morales mengakui persediaan latihan awal bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) membolehkan dia berada pada tahap terbaik dalam usaha membantu Harimau Malaya menentang Oman pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Jumaat ini.

Menurutnya, selepas berakhir kempen Piala Asia di Qatar pada Januari lalu, dia diberikan rehat sebelum diumumkan sebagai ayam tambatan baharu JDT pada 20 Februari lalu dan terus menjalani latihan dengan juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu.

Dalam tempoh berkenaan, Morales sudah beraksi dalam satu perlawanan pramusim antara JDT dan kelab Thailand, Police Tero sebelum turut meraih minit permainan ketika skuad Harimau Malaya menang 5-1 ke atas Nepal dalam aksi persahabatan tertutup, Jumaat lalu.

“Berlatih dengan JDT sangat baik kerana mereka mempunyai fasiliti yang baik dan ini membantu saya apabila tiba di kem kebangsaan memandangkan sistem latihan hampir sama dan saya rasa bersedia untuk perlawanan ini.

“Sebagai pemain, sudah tentu kami cuba mendapatkan minit seberapa banyak yang boleh dengan latihan kem kebangsaan juga berintensiti tinggi dan kini hanya perlu mengikut arahan jurulatih,” katanya kepada satu-satunya portal media tempatan yang berada di Muscat, Flash Sukan.

Ditanya mengenai persiapan menentang Oman yang juga pasukan di ranking ke-80 dunia, pemain kelahiran Colombia itu mengakui bersedia jika diturunkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon dalam kesebelasan utama di Stadium Kompleks Sukan Sultan Qaboos.

“Saya akan berikan yang terbaik tanpa mengira bila dimasukkan dalam padang kerana bermain untuk Malaysia bermaksud anda mewakili seluruh negara dan penyokong mempunyai harapan tinggi.

“Jadi apa yang perlu dilakukan adalah bermain dengan baik untuk memberikan kegembiraan kepada semua rakyat Malaysia,” kata bekas penyerang Kuala Lumpur (KL) City FC itu.

Selepas perlawanan di Muscat Jumaat ini, kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac sebelum berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan, Jun nanti.

sumber:- HM

Ketika ini, Malaysia menduduki tangga pertama Kumpulan D dengan enam mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan sebelum ini.