sukan

FFP bantu isu tunggakan gaji

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan mereka boleh melaksanakan apa sahaja peraturan kewangan bagi mengatasi masalah tunggakan gaji namun ia tetap bergantung kepada kesedaran setiap pasukan Liga Malaysia (Liga M) dalam berbelanja.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam menegaskan pasukan perlu bijak dalam perbelanjaan mereka dengan Stuart menganggap pelaksanaan peraturan ‘Financial Fair Play’ yang akan diperkenalkan nanti mampu menyekat isu tunggakan gaji daripada terus melarat.

Katanya, situasi tunggakan gaji yang terus membelenggu kancah bola sepak tempatan sememangnya mengecewakan sekali gus Stuart mengharapkan pasukan sentiasa bertanggungjawab dalam menguruskan bajet yang diperoleh pada setiap musim.

“Kita tidak tahu kalau FFP ini nanti dapat elakkan tunggakan gaji tetapi kita dapat tanganinya dengan awal. Dalam mekanisme FFP itu, MFL dapat maklumat secara konsisten untuk kita mengambil tindakan lebih cepat sebelum keadaan jadi lebih buruk dan tidak terkawal.

“Kita tidak mahu ia sampai ke tahap di mana pasukan tidak boleh bayar sehingga empat bulan. Tetapi ia perlu dirujuk pada kelab juga kerana bukan saya yang menjadi bajet kelab. Mereka kena jaga bajet sendiri dan pastikan pembayaran dibuat.

“Mereka perlu tahu bajet awal musim, perbelanjaan yang dibuat dan bertanggungjawab untuk pastikan perkara ini tidak berlaku. Saya boleh letakkan semua prosedur, FFP dan garis panduan tetapi tanggungjawab tetap berada di tangan pasukan,” kata Stuart.

Terdahulu, Stuart mengesahkan Peraturan FFP bakal diumumkan badan pengendali liga itu dalam masa terdekat ini namun beliau menegaskan pelaksanaan FFP dalam konteks Liga M berbeza dengan pendekatan FFP yang sudah diguna pakai di liga terkemuka dunia.

Sebagai rekod, FFP adalah satu mekanisme kawalan ke atas perbelanjaan kelab pasukan untuk memastikan akaun mereka kekal sihat daripada hutang melampau.

sumber:- BH

Ketika ini, badan pengendali liga itu sudah menggunakan model ECP supaya pasukan dapat mengawal perbelanjaan mereka sekali gus mereka tidak berbelanja melebihi apa yang sepatutnya.