sukan

Faisal Halim dalam bahaya

Anugerah Jaringan Terbaik Piala Asia 2023 yang dimenangi pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim jelas bukan datang dengan hanya kemasyhuran semata-mata tetapi turut membuatkan pemain itu perlu berhati-hati dengan kualiti permainannya.

Ini kerana jangkaan tinggi pasti diletakkan di bahu pemain berusia 26 tahun itu terutamanya selepas skuad Harimau Malaya akan berdepan dua aksi penting menentang Oman bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Bagaimanapun, pemain sayap itu tidak menganggap jangkaan tinggi itu sebagai satu tekanan namun mengakui dia perlu terus menunjukkan aksi yang konsisten bagi membantu skuad kebangsaan meraih keputusan positif berdepan Oman nanti.

“Itu (anugerah gol terbaik Piala Asia 2023) sebenarnya berbahaya sebab semua orang tahu saya sudah menang anugerah itu. Ia sedikit bebanan untuk diri saya juga.

“Kalau saya tidak dapat berikan yang terbaik ketika lawan Oman, saya akan dihentam tetapi kalau dapat buktikan yang terbaik, (jadi) selamatlah untuk saya.

“Cuma saya tidak anggap ia sebagai satu bebanan yang berat. Saya hanya Faisal Halim yang biasa dan saya buat kerja saya seperti biasa,” kata Faisal pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), petang ini.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Kim Pan Gon sedang dalam rangka persiapan untuk aksi berdepan Oman di Muscat pada 21 Mac sebelum menentang lawan sama di Stadium Nasional Bukit Jalil, 26 Mac.

sumber:- BH

Mereka akan mengharungi satu aksi pemanas badan berdepan Nepal, Jumaat ini.