sukan

Liga M dilabel Liga sarkas

Keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memilih Perlis United FC (PUFC) sebagai calon utama bagi menggantikan Kelantan FC dalam Liga Super musim ini mendapat pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak tanah air dalam media sosial.

Bagi peminat Perlis, ia jelas menjadi perkara yang menggembirakan mereka selepas sudah lama pasukan dari negeri itu hilang dari radar Liga Super.

Namun, terdapat juga reaksi negatif daripada sesetengah pihak dengan ada yang mempersoal pemilihan PUFC dengan mendakwa terdapat unsur pilih kasih, malah ada yang melabel Liga Malaysia (Liga M) sebagai liga sarkas.

Ia berdasarkan situasi yang dihadapi PUFC yang mana pasukan itu menamatkan saingan Liga M3 musim lalu di kedudukan kelapan selain mengemukakan permohonan mendapatkan lesen selepas berakhir tempoh sebenar diberikan.

Justeru, ada di antara peminat yang menyifatkan tiga pasukan teratas iaitu Imigresen FC, KL Rovers FC dan Harini Selangor FT lebih berhak diberikan lesen untuk beraksi di Liga Super.

Bagaimanapun, MFL sebelum ini membuka permohonan lesen luar biasa kepada semua pasukan M3 tanpa mengira ranking bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Kelantan FC.

Keputusan memilih PUFC juga dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mendengar permohonan kelab terbabit menerusi cadangan daripada First Instance Body (FIB) yang membuat semakan dan penilaian teliti dokumen yang diserahkan kelab M3 Liga Bolasepak Amatur (AFL) itu.

sumber:- BH

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam turut menjelaskan bahawa FIB perlu membuat pilihan terbaik dalam memastikan pasukan akan mengisi slot ke-14 Liga Super itu dapat menambah nilai liga.