Bintang muda sensasi negara, Arif Aiman Hanapi belum pasti akan dipanggil bagi menggalas tugas bersama skuad bawah 23 (B-23) tahun negara di pentas Piala Asia B-23, April depan.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau akan melihat dahulu sama ada nama Arif Aiman termasuk dalam senarai pilihan ketua jurulatih, Juan Torres Garrido atau tidak bagi menghadapi kejohanan di Qatar itu.
Beliau bagaimanapun menjelaskan kebiasaannya pemain muda yang sudah beraksi dengan skuad senior kebangsaan tidak akan turun ke pasukan muda.
“Nanti kita tengok dulu senarai daripada jurulatih. Kalau kita lihat dekat Eropah, pemain bawah umur apabila mereka bermain dekat atas (pasukan senior), mereka sudah tak pergi ke bawah lagi.
“Ia kerana kalau kita tengok pemain macam ini, jika semua perlawanan dia pergi, dia akan pengsan sekiranya main semua.”Kesudahannya pada kelab dan pasukan dia, tetapi saya belum dapat senarai dari Juan Torres lagi siapa yang dia nak panggil,” katanya.
Sebelum ini, terdapat cadangan supaya Arif Aiman dipanggil menyertai skuad B-23 ke Piala Asia berdasarkan kualiti dan pengalaman pemain berusia 22 tahun itu beraksi bersama skuad senior Harimau Malaya.
Selain itu, Hamidin memaklumkan skuad kendalian Garrido dalam perancangan awal setakat ini akan mengharungi aksi persahabatan dengan India, Qatar dan China sebagai persiapan ke Piala Asia.
sumber:- BH
“Lawan India sah di sini (Malaysia), kita menentang Qatar mungkin dua kali dan China, sudah sah di Qatar. Pasukan pergi awal ke sana, setakat ini itu (aksi persahabatan) yang sudah sah,” katanya.