sukan

Safee Sali tak yakin

Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali mengakui risau sekiranya pasukan dari Liga M3 dinaikkan pangkat ke Liga Super.

Apa yang menjadi kerisauan bekas pemain kebangsaan itu adalah mengenai kemampuan kewangan dan tahap persaingan yang mampu diberikan pasukan Liga M3 dalam Liga Super.

Dia berkata, jurang antara pasukan Liga M3 atau Liga Bolasepak Amatur (AFL) sangat jauh jika dibandingkan dengan pasukan yang bersaing dalam Liga Super terutama Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Saya pun risau juga sebab kelab AFL tidak terbukti dari segi kewangan, apabila masuk dalam Liga Super satu jurang yang sangat besar dari segi perjalanan, kos pemain, kontrak dan sebagainya.

“Benda itu saya berasa risau dan dari segi tahap kompetitif saya pun agak tak suka sangat sebab terlalu jauh. Liga Super dengan AFL bukan satu tahap yang sama, ia jauh, amatur dengan profesional adalah berbeza.

“Contohnya kalau Harini atau mana-mana pasukan dari AFL lawan JDT, jurang dia sangat besar. Selangor nak lawan JDT pun susah, kalau tahap tak sama, tak bagus untuk bola sepak,” katanya.

Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuka permohonan lesen luar biasa kelab Liga M3 bagi menyertai Liga Super selepas Kelantan FC tidak dapat beraksi dalam liga utama itu kerana gagal mendapatkan lesen.

Susulan daripada itu, tiga pasukan termasuk juara Liga M3, Imigresen FC, KL Rovers dan Harini dikatakan mengemukakan permohonan untuk mendapat lesen dan beraksi di Liga Super.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam dilaporkan berkata First Instance Body (FIB) akan mengadakan sesi temu duga dengan wakil beberapa kelab Liga M3 yang memohon lesen luar biasa menyertai saingan Liga Super 2024-2025, minggu depan.

su,ber:- BH

Stuart menjelaskan pihak FIB juga sudah menerima dokumen tambahan diperlukan daripada pasukan terbabit sebelum sesi itu berlangsung.